Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua lagi lokasi pemasangan tag VEP di Johor mulai 22 Sep

Sep 20, 2024 | 4:14 PM
Pada masa ini, satu-satunya pusat pengambilan dan pemasangan tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Johor adalah di pejabat TCSens di Danga Bay, yang boleh melayani 300 kenderaan setiap hari.
Pada masa ini, satu-satunya pusat pengambilan dan pemasangan tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) di Johor adalah di pejabat TCSens di Danga Bay, yang boleh melayani 300 kenderaan setiap hari. - Foto ST

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia berkata ia akan menambah dua lagi lokasi di Johor untuk pemilik kenderaan dari Singapura mengambil dan memasang tag Permit Masuk Kenderaan (VEP) mereka mulai 22 September.

Dua lokasi baru itu adalah di Kompleks JPJ Johor di Taman Daya, dan Akademi Pengangkutan Jalan (Wilayah Selatan) di Larkin.

Mereka boleh melayani sehingga 800 dan 400 kenderaan setiap hari, kata JPJ dalam satu kenyataan pada 19 September.

Pada masa ini, satu-satunya pusat pengambilan tag VEP di Johor adalah di pejabat TCSens di Danga Bay, yang boleh melayani 300 kenderaan setiap hari, lapor The Straits Times.

Mulai 1 Oktober, kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura melalui darat mesti mempunyai VEP yang sah.

Setiap permit akan disertakan dengan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) yang membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti kenderaan berdaftar asing di jalan raya negara itu.

VEP boleh digunakan untuk membayar tol di lebuh raya Malaysia, serta caj jalan RM20 ($6) yang dikenakan ke atas kenderaan asing apabila mereka memasuki Malaysia.

Untuk menampung jumlah permohonan yang tinggi, pejabat MY VEP telah ditubuhkan di Woodlands pada 19 Ogos untuk membolehkan mereka yang menghadapi masalah dengan permohonan mereka mendapatkan bantuan.

Sejak 12 September, pemilik kenderaan juga boleh mengambil tag RFID mereka di pejabat Woodlands itu dengan harga $39. Ini adalah tambahan kepada yuran pemprosesan sebanyak RM10 untuk tag tersebut.

Namun lawatan ke pejabat Woodlands kini hanya melalui janji temu sahaja.

Untuk membuat janji temu, pemandu perlu memasukkan maklumat peribadi mereka, termasuk nama dan nombor pendaftaran kenderaan dalam sistem tempahan dalam talian.

Mereka kemudian boleh memilih slot masa antara 9 pagi dengan 5 petang.

JPJ menggesa semua pemilik kenderaan warga asing supaya segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag VEP mereka bagi mengelak sebarang kesulitan ketika memasuki dan keluar dari Malaysia pada masa hadapan.

Mereka yang tidak mempunyai VEP sah boleh dinafikan kemasukan ke Malaysia, atau didenda sehingga RM2,000.

Alamat untuk dua lokasi baru itu ialah:

JPJ Johor: Kompleks JPJ, Taman Daya, 80990 Johor Bahru.

Akademi Pengangkutan Jalan (Wilayah Selatan): Jalan Kebun Teh Lama, Larkin, 80250 Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg