KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, dijangka diberikan jawatan lantikan dalam parti, selepas tewas dalam mempertahankan jawatan nombor dua itu pada pemilihan Pusat parti pada 23 Mei lalu.
Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, yang mengesahkan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memanggil barisan kepimpinan baru PKR untuk bermesyuarat bagi menjalankan post-mortem (bedah siasat) terhadap pemilihan tersebut serta membuat keputusan mengenai lantikan jawatan parti.
Datuk Amirudin, yang mengekalkan jawatannya sebagai Naib Presiden, berkata antara agenda mesyuarat adalah perbincangan mengenai jawatan lantikan bagi Datuk Rafizi.
“Semoga beliau masih boleh menyumbang kerana beliau berjanji tidak akan keluar parti. Beliau masih mahu menyumbang sebagai ahli,” katanya lapor MalaysiaKini memetik portal berita Free Malaysia Today.
Datuk Amirudin berkata mesyuarat itu akan diadakan dalam masa beberapa hari lagi. Antara jawatan lantikan dalam PKR termasuk setiausaha agung serta beberapa jawatan naib presiden.
Selain merancang untuk letak meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi sekiranya tewas dalam pemilihan, Datuk Rafizi juga sebelum ini berkata beliau tidak berminat memegang sebarang jawatan parti.
Di sebalik spekulasi peletakan jawatan daripada Kabinet selepas pemilihan PKR, Datuk Rafizi dilihat tenang hadir menjalankan tugas di Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur, pada 27 Mei.
Ahli Parlimen (AP) Pandan itu dilihat menghadiri Sidang Puncak Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei Darussalam – Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP - EAGA) ke-16 yang bermula pada 8 pagi.
Pada pemilihan pimpinan Pusat PKR bagi sesi 2025-2028 minggu lalu, Datuk Rafizi tewas di tangan pencabar tunggalnya Cik Nurul Izzah Anwar, yang menang jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti besar.
Cik Nurul Izzah yang juga puteri sulung pengasas dan Presiden PKR, Datuk Anwar, memperoleh 9,803 undi, manakala Datuk Rafizi hanya memperoleh 3,866 undi.
Datuk Rafizi dilihat kecewa dengan kekalahannya apabila tidak menghadiri sesi perbahasan Kongres Nasional PKR 2025 pada 24 Mei, selepas terus pulang ke Kuala Lumpur usai pengumuman keputusan pemilihan pada 23 Mei malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg