Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua polis cedera ditimbus tanah dalam operasi musnah bom di Johor

Aug 28, 2024 | 1:14 PM
Dua anggota polis Johor cedera parah selepas tertimbus runtuhan tanah ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di Kluang, Johor, pada 27 Ogos.
Dua anggota polis Johor cedera parah selepas tertimbus runtuhan tanah ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di Kluang, Johor, pada 27 Ogos. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KLUANG (Johor): Dua anggota polis Johor cedera parah selepas tertimbus tanah yang runtuh ketika menjalankan tugas pemusnahan bom di tapak perumahan Jalan Tabah, Taman Sri Lambak, di Kluang, Johor.

Bagaimanapun, perkembangan terkini keadaan dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBK), Kluang, untuk rawatan kecemasan, dilaporkan stabil.

Dua anggota daripada Unit Pemusnah Bom yang terbabit dalam kejadian kira-kira 3 petang, 27 Ogos itu dikenal pasti sebagai Koperal Abd Halim Zainal dan Koperal Muhammad Faruuqi Shamsary.

Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Bahrin Mohd Noh, berkata kededua mangsa – yang masing-masing berusia 34 dan 39 tahun – masih menerima rawatan di HEBHK.

Mangsa pertama yang berumur 34 tahun disahkan patah tulang paha sebelah kiri dan patah satu tulang rusuk sebelah kiri.

Mangsa kedua berusia 39 tahun patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk.

“Kededua mangsa dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Ogos, lapor Harian Metro.

Mengulas mengenai kejadian itu, Encik Bahrin berkata anggota Balai Polis Renggam, Kluang, menerima panggilan daripada orang awam pada 8.50 pagi 27 Ogos yang melaporkan terjumpa bom lama di tempat kejadian.

Encik Bahrin berkata menyusuli itu, sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom Cawangan Persenjataan, IPK Johor dan Unit Pemusnah Bom Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah ke lokasi tersebut bagi tujuan pemusnahan bom.

“Pada 2.20 petang, Pusat Gerakan Daerah (DCC) IPD Kluang menerima panggilan MERS 999 daripada anggota Pondok Polis Sri Lambak, melaporkan tanah runtuh berlaku di lokasi penemuan bom berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku ketika unit pemusnah bom sedang membuat persiapan pemusnahan bom.

“Akibat daripada runtuhan tanah di dinding lubang lokasi pemusnahan bom, anggota Unit Pemusnah Bom IPK Johor itu tertimbus dan mengalami kecederaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg