Hari keempat pencarian wanita warga India yang hilang selepas terjerumus ke dalam lubang tanah jerlus dekat lokasi tumpuan pelancong di Masjid India, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos, masih gagal menemui mangsa.
Usaha syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) melakukan teknik flushing dan pemecahan serpihan menggunakan jetter (pembersih saluran paip bertekanan tinggi) sejak awal pagi 26 Ogos, belum berhasil setakat ini.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, teknik flushing ialah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepaskan untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Walaupun SAR berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan kerap hujan yang menyebabkan arus deras dalam kawasan pembetungan, pihak berkuasa memberi jaminan usaha mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemui.
Tinjauan Berita Harian (BH) di tempat kejadian pada 26 Ogos mendapati Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menempatkan pengadang plastik setinggi 1.2 meter dan lebih 100 beg pasir untuk membantu menghalang aliran air hujan ke lubang tanah jerlus, bagi memudahkan operasi SAR oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizmie Affendy Sulaiman, pada sidang media petang 26 Ogos, berkata IWK melakukan teknik flushing dan penggunaan jetter secara berterusan dan berperingkat, untuk menyingkirkan sebarang objek terutama batuan besar yang boleh menghalang usaha menemui mangsa.
Beliau berkata pihak IWK turut menggunakan peralatan camera crawler (kamera) di dalam kawasan pembetungan untuk membantu mengesan mangsa.
“Selain teknik flushing, IWK turut menggunakan jetter dalam usaha memecahkan objek keras yang berada dalam paip pembetungan di lokasi kejadian sebab kita bimbang ada sesuatu di belakang serpihan (batuan) itu yang menyukarkan kita menemui mangsa.
“Berdasarkan penemuan awal pagi tadi, masih ada serpihan yang belum keluar dan kita pantau di setiap lurang kumbahan,” katanya.
Encik Sulizmie berkata anggota SAR juga memantau di setiap lurang kumbahan setiap kali teknik flushing dilakukan IWK, bagi memastikan sama ada mangsa berada di lokasi operasi dilakukan.
Operasi pemecahan serpihan menggunakan jetter itu dilakukan bermula dari lokasi tanah jerlus sehingga ke lurang kumbahan hilir yang jaraknya 69 meter.
Sebelum ini anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan dalam operasi SAR wanita warga India berkenaan berdepan cabaran besar kerana kawasan kumbahan mempunyai gas dan ia memberi risiko kepada anggota, selain ruang sempit dan tekanan udara yang berisiko.
Menerusi usaha itu, dua anggota unit skuba JBPM akan masuk ke dalam lurang kumbahan pada satu-satu masa dan setiap pencarian mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum anggota naik semula ke atas.
Untuk memudahkan operasi SAR, enam lurang kumbahan sekitar tempat kejadian dibuka secara berperingkat dengan bantuan IWK, bagi meluaskan kawasan pencarian.
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi 23 Ogos, wanita warga India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, hilang selepas terjerumus ke dalam lubang sedalam lapan meter yang terbentuk akibat tanah jerlus.
Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan ketika kejadian, mangsa sedang berjalan di kawasan siar kaki sebelum tiba-tiba lantai dipijak jerlus dan mangsa hilang dihanyutkan arus deras di bawah tanah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg