Duda 3 anak curi setandan pisang dijel tiga bulan
BATU PAHAT: Duda tiga anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 8 Januari atas tuduhan mencuri setandan pisang di sebuah kebun di Rengit, Johor, pada 4 Januari.
Muhammad Fadil Ismail, 35 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman yang kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadapnya.
Mengikut tuduhan, Fadil didakwa mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit, Johor, sekitar 9.45 pagi.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua manakala bagi kesalahan kedua, penjara dan denda.
Berdasarkan fakta kes, pengadu mendapati pisang jenis ‘rastali’ yang ditanam di kebunnya kerap hilang akibat dicuri.
Disebabkan tidak tahan dengan kejadian itu, pemiliknya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kebunnya untuk mengetahui siapa dalang di sebalik kejadian itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Mangsa berjaya merakam perbuatan tertuduh yang ketika itu sedang menebang pokok pisang sebelum melarikan buahnya.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rengit pada 4 Januari sekali gus membolehkan tertuduh ditahan pada hari yang sama.
Siasatan polis mendapati tertuduh bekerja kelindan lori adalah individu yang bertanggungjawab di sebalik kehilangan pisang mangsa selama ini.

