Dahulu, mereka sering dikenali sebagai pemandu kenderaan persendirian haram atau ‘Pak Wanca’, membawa penumpang antara Johor Bahru dengan Singapura sambil berdepan risiko tindakan penguatkuasaan.

Kini, sebahagian pemandu itu melihat seolah-olah mereka mendapat ‘kehidupan kedua’ selepas laluan dibuka untuk mereka beroperasi secara sah menerusi perkhidmatan teksi premium rentas sempadan yang diperluaskan pada Mei 2026.

Namun, peralihan daripada pemandu tidak berlesen kepada pengusaha sah tidak semudah menukar kenderaan.

Mereka perlu melalui beberapa peringkat melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

Di samping itu, mereka perlu menyediakan kenderaan yang memenuhi syarat serta melibatkan pembiayaan.

Di bawah perluasan perkhidmatan teksi rentas sempadan Singapura–Malaysia itu, kuota setiap negara meningkat daripada 200 kepada 300 teksi dan sasaran akhirnya 500 teksi.

Syarikat Grab juga menerima lesen pertama di Singapura untuk menyediakan tempahan melalui wadah dalam taliannya.

Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha, 42 tahun, berkata 100 permit bagi teksi premium rentas sempadan diperuntukkan kepada pihak Malaysia pada peringkat awal, dengan jumlah itu dijangka ditambah secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha.
Pengerusi Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan, Encik Muhammed Ashraff Kamal Batcha. - Foto fail

“Alhamdulillah, kita sudah mendapat permit dan boleh merentas sempadan. Sekarang kita sedang menyelesaikan dokumentasi dengan LTA.

“Ini fasa pertama. Permulaan ini diberikan 100 permit dan selepas itu akan ada tambahan lagi,” katanya.

Menurut beliau, Persatuan Kenderaan Sewa Persendirian Selatan menerima 35 daripada permit berkenaan bagi menyokong operasi teksi rentas sempadan.

Beliau berkata pemohon diberi tempoh setahun selepas menerima Surat Tawaran Kelulusan daripada Apad untuk mendapatkan kenderaan dan menyelesaikan proses berkaitan Puspakom, JPJ serta LTA.

Antara kenderaan yang dibenarkan termasuk Toyota Alphard dan Vellfire serta beberapa jenis kenderaan serba guna lain.

“Kalau dalam tempoh setahun mereka tidak dapat menyediakan kenderaan dan menyelesaikan urusan itu, permit boleh ditarik balik,” katanya.

Perubahan ini turut menyaksikan kuota perkhidmatan teksi rentas sempadan yang dibenarkan beroperasi bagi setiap negara bakal ditingkatkan secara berperingkat kepada 500 kenderaan, berbanding hanya 200 sebelum ini.

‘Tak perlu takut kereta disita’

Bagi pemandu rentas sempadan, Encik Peter Lim Wei Gie, 40 tahun, peluang untuk beroperasi secara sah membawa kelegaan selepas kira-kira 10 tahun menjalankan perkhidmatan itu.

Encik Peter Lim Wei Gie berkata bagi kenderaan premium, perjalanan dari Johor Bahru ke lokasi seperti Lapangan Terbang Changi boleh dikenakan bayaran sekitar $180.
Encik Peter Lim Wei Gie berkata bagi kenderaan premium, perjalanan dari Johor Bahru ke lokasi seperti Lapangan Terbang Changi boleh dikenakan bayaran sekitar $180. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau mula mencari kenderaan pada Mei dan hanya memperolehinya pada akhir Julai sebelum melalui beberapa lagi proses kelulusan.

“Sekarang tinggal proses LTA. Selepas pasang OBU (peranti unit dalam kenderaan) dan dapat lesen kenderaan, barulah boleh bekerja.

“Sudah tentu gembira. Kita tidak perlu lagi takut LTA menyita kereta,” katanya.

Menurut Encik Lim, bagi kenderaan premium, perjalanan dari Johor Bahru ke lokasi seperti Lapangan Terbang Changi boleh dikenakan bayaran sekitar $180.

Kenderaan Malaysia yang mempunyai kebenaran, ujar beliau, boleh mengambil penumpang dari lokasi di Johor dan menghantar mereka terus ke destinasi di Singapura, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.

Peluang ini membawa makna lebih besar buat Cik Lim Khee Hooi, 43 tahun, seorang ibu tunggal yang sudah sekitar 11 tahun membawa penumpang merentas sempadan.

Cik Lim Khee Hooi berharap peluang ini akan dapat membantu beliau menyara keluarganya selain memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan.
Cik Lim Khee Hooi berharap peluang ini akan dapat membantu beliau menyara keluarganya selain memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Ketika ditemui, beliau masih menunggu kelulusan Singapura dan menjangkakan proses itu mengambil masa sekitar empat hingga enam minggu.

“Sebelum ini saya tidak mempunyai sesuatu yang benar-benar sah untuk buat kerja ini. Saya sudah memandu selama 11 tahun.

“Saya ibu tunggal, bapa anak saya sudah meninggal dunia. Kalau dapat permit ini, lebih senang untuk saya keluar masuk secara sah dan pendapatan pun boleh menjadi lebih stabil,” katanya.

Sebelum ini, katanya, beliau mampu membuat sehingga empat perjalanan sehari dan berharap jumlah serupa dapat dicapai apabila kembali beroperasi.

Namun, Cik Lim berharap lebih banyak tempat mengambil penumpang di Singapura dapat dibenarkan pada masa depan.

“Kita tidak mahu lagi bekerja secara tidak sah atau mengambil penumpang secara curi-curi.

“Kalau lebih banyak tempat dibenarkan, pelanggan lebih senang dan kami pun lebih mudah menyediakan khidmat,” katanya.

Pinjaman bank antara halangan

Bagaimanapun, Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, 66 tahun, berkata proses menyediakan kesemua kenderaan mengambil masa kerana sebahagian penerima permit berdepan masalah mendapatkan pinjaman.

Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, berkata ada yang sudah menerima surat tawaran permit tetapi tidak dapat mengeluarkan kenderaan kerana dokumen kewangan mereka tidak cukup kukuh.
Pengerusi Gabungan Tiga Persatuan Teksi Rentas Sempadan Johor Bahru-Singapura, Encik Mohd Suhaimi Saidi, berkata ada yang sudah menerima surat tawaran permit tetapi tidak dapat mengeluarkan kenderaan kerana dokumen kewangan mereka tidak cukup kukuh. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurut beliau, ada pemohon yang mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang masih baru atau perniagaan yang belum mempunyai rekod mencukupi untuk memenuhi kehendak bank.

“Masalah sekarang ialah proses bank. Ada yang sudah menerima surat tawaran permit tetapi tidak dapat mengeluarkan kenderaan kerana dokumen kewangan mereka tidak cukup kukuh.

“Jadi kita utamakan mereka yang sudah mampu dan mempunyai PSV lebih lama,” katanya.

Kekangan melibatkan pihak bank berpunca daripada faktor usia.

Ini memandangkan sebahagian besar pemandu sudah berusia 60 tahun dan ke atas dan tidak layak mendapat tempoh pembiayaan maksimum bagi kereta baharu iaitu sembilan tahun.

Ketika ditemu bual, beliau berkata, empat kenderaan jenis Alphard sudah boleh beroperasi, manakala yang lain masih melalui proses mendapatkan kelulusan LTA, OBU, Autopass dan keperluan lain.

“Kita sedang ikut turutan. Selepas mendapat permit LTA, masih ada beberapa proses lagi. Mungkin makan masa sekitar sebulan sebelum yang lain boleh mula berjalan,” katanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu Teksi, Kereta Sewa serta Teksi Mewah Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Encik Mohd Nor Mohd Syed, 70 tahun, berkata kemunculan kenderaan premium berlesen tidak semestinya menjadi ancaman kepada teksi sedia ada.

Menurutnya, kenderaan lebih besar diperlukan terutama bagi keluarga atau kumpulan enam hingga tujuh penumpang.

“Kalau kenderaan itu berlesen, memang bagus. Ada penumpang ramai yang memerlukan kenderaan serba guna yang besar.

“Sebelum ini kita lihat banyak kenderaan serba guna masuk Singapura dan dikenakan tindakan.

“Kalau sekarang ada lesen, perkhidmatan sah boleh menggantikan operasi seperti itu,” katanya.

Beliau turut menyambut baik aturan yang lebih seimbang antara teksi Malaysia dengan Singapura ketika mengambil penumpang di terminal, berbanding sistem terdahulu.

200 teksi sedia sambut pengguna RTS Link

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (Gapet), Encik Mohd Abdul Rahman Arif, 69 tahun, berkata kira-kira 200 teksi sudah disediakan di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru menjelang pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link).

Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (Gapet) telah menyediakan kira-kira 200 teksi di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru menjelang pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link).
Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (Gapet) telah menyediakan kira-kira 200 teksi di sekitar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru menjelang pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link). - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Kita sudah bersedia memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Kalau RTS beroperasi 24 jam, kami juga bersedia beroperasi 24 jam dan akan menambah bilangan teksi jika diperlukan,” katanya.

Beliau memberi jaminan kadar tambang teksi di CIQ tidak akan dinaikkan sesuka hati apabila permintaan meningkat selepas RTS beroperasi.

“Sekarang kita menggunakan sistem kupon mengikut destinasi. Harga itu dipersetujui bersama Apad.

“Kita tidak akan menaikkan harga sesuka hati. Kita mesti mengikut kadar yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Bagi pemandu yang bertahun-tahun mencari rezeki di laluan Johor-Singapura, perubahan itu bukan sekadar membuka satu lagi pilihan pengangkutan rentas sempadan.

Peluang ini membolehkan mereka meninggalkan zaman bertugas dibelenggu kebimbangan, sekali gus meraih mata pencarian yang lebih teratur dan sah.

Ini berlaku tepat pada masanya, memandangkan corak perjalanan rentas sempadan bakal berubah apabila RTS Link mula membawa penumpang pada 2027.