Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: BN kekal 21 kerusi, tiada kompromi
MELAKA: “BN kekal bertanding di semua 21 kerusi dan tiada kompromi mengenainya.”
Demikian ditegaskan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika ditanya mengenai kerjasama yang bakal wujud dengan sebarang parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tidak lama lagi.
Datuk Ab Rauf berkata kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN akan menjadi garis sempadan perbincangan di antara parti itu dengan parti lain.
“Kami tidak akan kompromi 21 kerusi kerana itu adalah garisan sempadan perbincangan. Jika ada mana-mana parti ingin bekerjasama, perkara ini mereka kena patuhi.
“Saya alu-alukan siapa hendak datang, tetapi asas perbincangan mestilah berdasarkan satu rasional yang cukup munasabah.
“Saya tidak boleh menguruskan apa juga keputusan melainkan saya mendapat mandat daripada pihak Majlis Tertinggi Umno,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Bengkel Penjajaran Hala Tuju Kampung Digital Melaka di Alor Gajah pada 27 Ogos lalu.
Datuk Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, pihaknya menyambut baik pihak yang mahu mengadakan perbincangan berkaitan kerjasama politik.
Namun, sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang akan bersidang pada malam 28 Ogos.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan pembubaran DUN Melaka sebagai diketahui umum malah memberi bayangan PRN boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Pilihan raya ini bila-bila masa sahaja. Tidak ada masalah, cuma tarikh itu saya belum dapat ilham,” katanya.
Beliau berkata enggan mendedahkan tarikh pembubaran DUN lebih awal kerana mahu mengekalkan elemen kejutan.
“Pembubaran itu saya akan buat bila waktu bubar. Kalau saya beritahu sekarang, tak ada keterujaan lah, buat apa,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata kerjasama BN dengan mana-mana parti sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka akan ditentukan dalam MKT Umno pada 28 Ogos.
Tambahnya, perkara berkenaan antara agenda utama yang dijangka dibincangkan dalam mesyuarat tersebut termasuk membabitkan hala tuju kerjasama politik di Melaka.
Menurutnya, Pemuda Umno turut akan terlibat dalam perbincangan itu memandangkan pergerakan berkenaan merupakan sebahagian daripada Biro Politik Umno.
