SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan boleh terbubar dengan sendirinya pada Februari 2027, sekiranya tiada sidang diadakan sehingga tempoh berkenaan seperti mana ditetapkan dalam perlembagaan negeri.

Keadaan itu menuntut kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, menyelesaikan isu proklamasi membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secepat mungkin.

Ia bagi membolehkan Sidang DUN dapat diadakan dan seterusnya pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dilakukan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata berdasarkan perlembagaan negeri, persidangan DUN perlu diadakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Sekiranya ia (sidang DUN) tidak dapat diadakan pada tempoh masa yang ditentukan ada kemungkinan ia akan menggugat kerajaan sedia ada, tambahan pula jika Belanjawan Negeri tidak dapat dibentang dan diluluskan.

“Pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas kerana tiada sumber kewangan yang diluluskan.

“Ini akan menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dan akhirnya terpaksa diadakan pilihan raya negeri (PRN) yang baharu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau mengulas krisis adat, istana dan pentadbiran yang masih berlanjutan di Negeri Sembilan sejak April lalu.

Kerajaan negeri merancang untuk mengadakan persidangan DUN pada 26 November, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada 27 November depan.

Bagaimanapun, difahamkan sehingga kini kerajaan negeri belum memperoleh perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mengadakan sidang DUN.

Malah, Datuk Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, sebelum ini dilaporkan tidak mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai pemerintah selepas menandatangani proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos lalu.

Pada 27 Oktober, Datuk Ismail memaklumkan beliau tidak bercadang untuk mengemukakan senarai barisan Exco baharu, sebaliknya menunggu keputusan mahkamah berhubung kesahihan pembatalan pelantikan 10 bekas Exco sebelum ini.

Datuk Ismail turut menjelaskan tumpuannya ketika ini untuk memastikan persiapan menghadapi Persidangan DUN dan membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 26 dan 27 November depan.

Mengulas ketiadaan barisan Exco, Dr Muhamad Fuad berkata perkara itu akan memberi kesan kepada persidangan DUN kelak, jika ia dapat dijalankan pada tarikh yang dirancangkan.

Menurutnya Menteri Besar terpaksa menjawab semua persoalan membabitkan pelbagai isu kepentingan negeri dan rakyat di Persidangan DUN berkenaan.

“Keadaan itu akan menunjukkan kelemahan yang berlaku dalam kepemimpinan kerajaan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Harus diingat dalam kes Exco ini, proses undang-undang di mahkamah tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Apa lagi sekiranya ada rayuan di peringkat mahkamah tertinggi dan sebagainya, akan mengambil masa lama,” katanya merujuk tindakan 10 Exco yang mengambil tindakan undang-undang berikutan keputusan pembatalan pelantikan mereka.