Ejen nikah, poligami di Thai tawar pakej RM12,000 ‘3 dalam 1’
Ejen nikah, poligami di Thai tawar pakej RM12,000 ‘3 dalam 1’
KOTA BHARU (Kelantan): Ejen pengurus perkahwinan atau poligami di selatan Thailand kini menawarkan pakej ‘3 dalam 1’ yang merangkumi bulan madu di Hatyai.
Pakej tiga hari dua malam dengan caj antara RM10,000 ($2,527) hingga RM12,000 ini meliputi kos nikah, bulan madu, serta pendaftaran nikah di Malaysia.
Pakej terbaru ejen nikah yang berpangkalan di Malaysia ini menawarkan kelainan berbanding perkhidmatan biasa yang hanya menguruskan pernikahan dan pendaftaran perkahwinan di Malaysia.
Menurut seorang ejen yang enggan dikenali, pakej ‘3 dalam 1’ ini mula diperkenalkan sejak beberapa bulan lalu bagi menarik minat pasangan dari Malaysia.
“Hanya beberapa ejen setakat ini menawarkan pakej sedemikian dengan harga yang ditawarkan kira-kira RM10,000 hingga RM12,000.
“Saya mengenakan caj RM10,000 untuk pakej 3 dalam 1 iaitu kos bernikah RM2,000, kos pendaftaran perkahwinan di Malaysia pula RM6,000 dan pakej bulan madu di Hatyai pula RM2,000.
“Bagaimanapun bukan semua pengantin diwajibkan mengambil pakej berkenaan, sebaliknya bergantung kepada kewangan mereka.
“Jika pasangan hanya ada peruntukan kewangan untuk berkahwin, hanya RM2,000 saja kos dikenakan dan tidak bermalam di Thailand.
“Bagaimanapun kebanyakan pasangan yang saya uruskan mengambil pakej penuh memandangkan pengantin baru, selain jarang berkunjung ke Thailand,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Jelasnya, kebanyakan pasangan yang menggunakan khidmat mereka adalah mereka yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama, selain ada juga yang tidak mendapat restu keluarga.
Boleh dikatakan 90 peratus adalah mereka yang berpoligami dari pelbagai negeri termasuk Kelantan kerana proses nikah di Thailand lebih mudah tanpa persetujuan isteri pertama.
“Kita akan menggunakan imam yang bertauliah kerana mahu memastikan perkahwinan itu sah di sisi agama. Namun pengantin berkenaan tidak boleh memilih lokasi perkahwinan sama ada di Narathiwat atau Pattani, sebaliknya lokasi itu ditentukan pihak kami,” katanya.
Ditanya sama ada proses pendaftaran perkahwinan di Malaysia boleh dilakukan dengan mudah tanpa pengetahuan isteri pertama, ejen itu berkata, ia bergantung kepada prosiding Mahkamah Syariah di Malaysia.
“Namun kebanyakan yang kita uruskan adalah tanpa pengetahuan isteri pertama dan disebabkan itu juga kos pendaftaran adalah sedikit mahal kerana kita yang menguruskan segala-galanya.”
“Bagi yang mahu lebih jimat, mereka boleh menguruskan pendaftaran itu sendiri dan juga boleh dilakukan pada bila-bila masa. Namun digalakkan dilakukan sebelum pasangan itu dikurniakan cahaya mata,” katanya.

