Topik diikuti
Pergi ke BHkuEjen pelancongan: Johor perlu pergiat usaha perkenal tarikan jarang dilawati warga S’pura
Pengunjung S’pura masih kurang sedar tentang Tahun Melawat Johor 2026
Dengan $500 (sekitar RM1,500), sebuah keluarga warga Singapura boleh bermalam di Johor, menikmati hidangan tempatan, melawat muzium, membeli-belah dan masih mempunyai wang untuk kegiatan lain.
Malah, bagi mereka yang bijak merancang, jumlah itu boleh digunakan untuk percutian sehingga tiga hari dua malam merangkumi ekopelancongan, warisan, pantai dan pengalaman kebudayaan.
Namun, di sebalik kemampuan berbelanja yang lebih besar kerana nilai dolar Singapura, beberapa wakil syarikat pelancongan republik ini berpendapat masih ramai warga Singapura kurang mengetahui mengenai Tahun Melawat Johor 2026.
Mereka berkata Johor perlu lebih giat menampilkan sisi negeri itu yang jarang diketahui warga Singapura, terutama tarikan di luar pusat beli-belah, makanan dan kegiatan urut yang lazim dikaitkan dengan kunjungan singkat merentasi Tambak.
Berita Harian (BH) berkesempatan menemu bual beberapa wakil syarikat pelancongan Singapura semasa lawatan suai kenal anjuran Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (Jetco) bersama Tourism Johor pada 12 dan 13 Ogos.
Pengarah E&M Mice and Luxury Travel, Cik Angela Lee, berkata lawatan itu membuka matanya kepada tarikan Johor yang selama ini jarang dikunjungi warga Singapura.
“Biasanya apabila orang Singapura datang ke Johor, mereka pergi ke kawasan berdekatan untuk makan dan sebagainya. Tetapi tempat yang kami lawati kali ini memberikan pengalaman yang agak berbeza,” katanya.
Antara tempat dikunjungi ialah Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Kampung Sungai Melayu dan Muzium Tokoh Johor.
Menurut Cik Lee, tarikan seperti makanan juga boleh diketengahkan dengan lebih menarik sekiranya pelawat diberikan kisah di sebaliknya.
“Kalau sesuatu makanan itu sudah dibuat selama tiga generasi atau mempunyai ciri asli Johor, ceritakan kepada pelawat. Perbezaan kecil seperti itu boleh menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna,” katanya.
Beliau berpendapat sebahagian warga Singapura mengetahui mengenai Tahun Melawat Johor, tetapi kempen itu perlu menjawab persoalan mudah; apakah yang baru di Johor?
“Bagi mereka, Johor mungkin sekadar pergi ke City Square atau tempat yang sudah biasa. Jadi, Johor perlu menunjukkan apakah yang baru dan sebab mereka patut pergi ke sesuatu tempat,” katanya.
Ditanya apakah yang boleh dilakukan dengan $500, beliau berkata jumlah itu memadai untuk menikmati makanan, rawatan urut dan penginapan satu atau dua malam di hotel yang baik.
Ramai masih tidak tahu
Pengurus Pembangunan Perniagaan Potski Travel and Tour Pte Ltd, Encik Raden Zainal Mustafa, turut berpendapat kesedaran mengenai Tahun Melawat Johor masih belum menyeluruh.
“Bukan semua tahu mengenai Tahun Melawat Johor. Kalau mereka memang mengikuti kumpulan pelancongan atau melihatnya di media sosial, mungkin mereka tahu.
“Tetapi secara keseluruhan, saya rasa ramai masih tidak tahu. Banyak lagi usaha promosi dan pemasaran perlu dilakukan oleh Tourism Johor di Singapura,” katanya.
Menurutnya, kunjungan beliau ke Kampung Sungai Melayu, menyaksikan persembahan zapin dan tempat bersejarah, memperlihatkan Johor dari sudut yang berbeza.
“Johor bukan hanya tempat makan dan membeli-belah. Dari sudut budaya dan warisan, ia sangat menarik.
“Kampung Sungai Melayu pula memberi peluang melihat bakau, menaiki bot dan mengalami alam semula jadi. Ini pengalaman yang sesuai dibawa bersama keluarga, terutama anak-anak,” tambahnya.
Menurut Encik Raden, $500 juga mencukupi bagi sebuah keluarga empat orang untuk bermalam, makan dan melakukan sedikit kegiatan membeli-belah.
“Hotel boleh berharga antara RM150 dengan RM400 semalam dan makan mungkin RM50 hingga RM100 seorang.
“Bagi keluarga empat orang, $500 saya rasa mencukupi untuk penginapan, sarapan, makan malam, bersiar-siar dan sedikit membeli-belah,” katanya.
Pengarah De Hayat Travel & Services Pte Ltd, Cik Hamimah Sulaiman, berpendapat agensi pelancongan mempunyai peranan besar dalam memperkenalkan kempen itu kepada warga Singapura.
“Tahun Melawat Johor itu tidak begitu diketahui. Biasanya kami sebagai ejen yang perlu mendorong mereka dengan memberitahu bahawa sekarang ada lawatan dan tarikan baharu di Johor.
“Kalau mereka dengar ada sesuatu yang baharu, mungkin mereka lebih berminat datang dan meneroka,” katanya.
Bagi beliau, $500 memberikan banyak pilihan.
“Boleh makan, membeli-belah dan berjalan-jalan. Kita boleh bawa mereka sarapan, melawat Galeria Islam, makan tengah hari, menikmati durian ketika musimnya dan kemudian membeli-belah di Mydin atau Angsana,” katanya.
Beliau berkata Johor juga perlu mewujudkan lebih banyak kegiatan supaya warga Singapura mempunyai sebab untuk bermalam dan bukan sekadar datang beberapa jam sebelum pulang.
Mahu pengalaman yang boleh ‘dirasai’
Menurut Pengarah Urusan TLC Adventure Tours Pte Ltd, Encik David Lim, warga Singapura semakin mencari pengalaman yang tidak boleh didapati di republik itu.
“Saya rasa Johor perlu memberi tumpuan kepada kekuatannya seperti ekopelancongan. Kita mahukan pengalaman yang boleh dilihat, dirasa, disentuh, didengar dan dinikmati.
“Ia perlu menjadi sesuatu yang pelawat sendiri boleh sertai, bukan sekadar datang, mengambil gambar dengan cepat dan kemudian pergi,” katanya.
Ditanya sama ada warga Singapura mengetahui mengenai Tahun Melawat Johor 2026, jawapannya ringkas; “saya rasa tidak”.
“Promosinya masih belum cukup meluas. Ramai datang ke sini sekadar untuk makan, urut dan berehat sebentar.
“Tourism Johor boleh bekerjasama dengan lebih rapat dengan agensi pelancongan dan membantu mereka mempromosikan tarikan Johor dengan lebih baik,” katanya.
Encik Lim berkata $500 boleh membawa seseorang jauh melangkaui pusat bandar Johor Bahru.
“Kalau perjalanan dirancang dengan baik, tiga hari dua malam pun boleh. Mereka boleh menikmati ekopelancongan, pengalaman budaya, pantai dan pelbagai kegiatan dari pagi hingga malam,” katanya.
“Bukan semua tahu mengenai Tahun Melawat Johor. Kalau mereka memang mengikuti kumpulan pelancongan atau melihatnya di media sosial, mungkin mereka tahu.
“Tetapi secara keseluruhan, saya rasa ramai masih tidak tahu. Banyak lagi usaha promosi dan pemasaran perlu dilakukan oleh Tourism Johor di Singapura,” katanya.
Beliau berkata kunjungannya ke Kampung Sungai Melayu, persembahan zapin dan tempat bersejarah memperlihatkan Johor daripada sudut yang berbeza.
“Johor bukan hanya tempat makan dan membeli-belah. Dari sudut budaya dan warisan, ia sangat menarik.
“Kampung Sungai Melayu pula memberi peluang melihat bakau, menaiki bot dan mengalami alam semula jadi. Ini pengalaman yang sesuai dibawa bersama keluarga, terutama anak-anak,” katanya.
Keluar dari pusat beli-belah
Pengurus Jetco, Encik Mohamad Iskandar Omar, berkata 46 peserta dari Singapura menyertai kegiatan Jetco Connect 2.0 kali ini, bersama kira-kira 40 peserta dari Johor.
“Kalau kita mahu menghasilkan pakej, mereka perlu tahu dahulu apa yang hendak dijual. Sebab itu kali ini kita membawa ejen pelancongan Singapura ke Johor supaya mereka sendiri rasai pengalaman itu,” katanya.
Menurut beliau, dapatan sebelum ini menunjukkan warga Singapura semakin berminat terhadap alam semula jadi dan ekopelancongan.
“Pusat beli-belah boleh dikunjungi setiap hari. Tetapi apabila mereka pergi ke Gunung Ledang atau tempat yang lebih jauh dari bandar, mereka melihat alam semula jadi dan bukan lagi bangunan tinggi. Saya nampak minat mereka sekarang lebih ke arah itu,” katanya.
Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Cik Zuraini Abdul Ghani, berkata pasaran Singapura sudah matang dan tidak lagi boleh bergantung hanya kepada kegiatan membeli-belah.
“Mereka lebih berminat kepada cerita asal usul dan pengalaman seperti muzium, inap desa atau kegiatan memasak. Mereka mahukan sesuatu selain datang ke pusat beli-belah dan membeli-belah sahaja,” katanya.
Beliau berkata pengalaman berasaskan masyarakat juga mempunyai potensi besar, termasuk di daerah di luar Johor Bahru.
“Kami pernah membawa ejen Singapura ke Homestay Sarang Buaya di Muar. Mereka terkejut apabila mengetahui ada perkampungan Jawa, persembahan barongan dan sawah padi di Johor.
“Mereka berkata, ‘Rupanya Johor pun ada, tidak perlu pergi jauh’. Inilah pengalaman yang kita mahu ketengahkan,” katanya.
Menurut Cik Zuraini, hasil pertemuan antara pemain industri Johor dengan Singapura itu dijangka melahirkan sehingga 16 pakej pelancongan baharu untuk dipromosikan kepada pasaran Singapura.
“
“Bukan semua tahu mengenai Tahun Melawat Johor... Banyak lagi usaha promosi dan pemasaran perlu dilakukan oleh Tourism Johor di Singapura. Johor bukan hanya tempat makan dan membeli-belah. Dari sudut budaya dan warisan, ia sangat menarik.”“
Saya rasa Johor perlu memberi tumpuan kepada kekuatannya seperti ekopelancongan. Kita mahukan pengalaman yang boleh dilihat, dirasa, disentuh, didengar dan dinikmati. Ia perlu menjadi sesuatu yang pelawat sendiri boleh sertai, bukan sekadar datang, mengambil gambar dengan cepat dan kemudian pergi.”“
“Kami pernah membawa ejen Singapura ke Homestay Sarang Buaya di Muar. Mereka terkejut apabila mengetahui ada perkampungan Jawa, persembahan barongan dan sawah padi di Johor. Mereka berkata, ‘Rupanya Johor pun ada, tidak perlu pergi jauh’. Inilah pengalaman yang kita mahu ketengahkan.”