Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon M’sia dianggar berkembang kukuh 5.3% bagi suku ketiga 2024

Pertumbuhan didorong antaranya pasaran buruh yang mantap, inflasi sederhana serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan
Oct 21, 2024 | 4:47 PM
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen. 
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen.  - Foto JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.3 peratus pada suku tahun ketiga 2024, lanjutan daripada peningkatan kukuh 5.9 peratus pada suku kedua 2024 dan 4.2 peratus pada suku pertama 2024.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bagi tempoh Januari sehingga September 2024, Hasil Dalam Negara Kasar (GDP) tumbuh 5.1 peratus berbanding 3.8 peratus pada tempoh yang sama pada 2023.

Ia sekali gus berada dalam julat unjuran pertumbuhan baru kerajaan antara 4.8 hingga 5.3 peratus yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Unjuran rasmi sebelum ini adalah pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus bagi 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh yang mantap, tekanan inflasi yang sederhana, dasar fiskal yang menggalakkan, serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dijangka meneruskan momentum pengembangan dalam ekonomi domestik.

Selain itu, beliau berkata trend positif dalam perbelanjaan pengguna dan peningkatan pelaburan dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga 2024, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

“Berdasarkan indikator terkini yang diterbitkan oleh DOSM, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.7 peratus pada Julai dan menyederhana kepada 4.7 peratus pada Ogos 2024.

“Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian masing-masing berkembang 5.3 peratus dan 4.1 peratus pada Julai dan Ogos 2024.

“Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan 7.8 peratus bagi eksport dan 20.8 peratus bagi import pada suku 2024,” katanya dalam kenyataan anggaran GDP awalan suku ketiga 2024 yang dikeluarkan oleh DOSM, pada 21 Oktober.

Datuk Mohd Uzir berkata prestasi ekonomi pada suku ketiga 2024 dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.1 peratus, diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta perkhidmatan perniagaan.

Selain itu, katanya, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan yang lebih baik kepada 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku tahun 2023, disokong terutamanya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Beliau menambah, sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen terutamanya aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman.

“Sektor pertanian meningkat dengan lebih perlahan pada suku 2024 pada 4 peratus berbanding 7.2 peratus pada suku tahun kedua 2024, disumbangkan oleh pertumbuhan sederhana dalam subsektor kelapa sawit.

“Bagaimanapun, sektor perlombongan dan kegiatan kuari menyusut 3.4 peratus berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku tahun 2023, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor gas asli dan minyak mentah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg