Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyasaran subsidi petrol: Kerajaan M’sia mungkin perkenal dua peringkat harga

Oct 21, 2024 | 1:36 PM
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Rafizi Ramli. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dijangka menggunakan kaedah dua peringkat harga bagi pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada 2025, dengan mekanisme pengagihan akan ditentukan kelak.

Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli, berkata kaedah itu sedikit berbeza daripada pelaksanaan subsidi diesel yang menggunakan kad fleet, berikutan majoriti rakyat iaitu 85 peratus akan menikmati subsidi berkenaan.

“Pelaksanaannya adalah harga minyak hanya perlu dibayar pada harga pasaran oleh orang yang tidak layak dapat subsidi yang disebut golongan T15 (15 peratus golongan berpendapatan tinggi).

“Siapa T15, kita akan lalui proses (untuk menentukannya). Bagi 85 peratus (rakyat yang lain), jika harga sekarang RM2.05 ($0.63), itulah yang perlu dibayar.

“Maka, ini akan babitkan dua peringkat harga di stesen minyak.

“Sebab itu, mekanismenya perlu dibincang (untuk pengagihan subsidi) dan sedang diperhalusi untuk pelaksanaan dengan semua termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan jabatan lain yang terbabit,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025.

Kata Encik Rafizi, 85 peratus rakyat bagaimanapun tidak akan terkesan dengan langkah itu yang membawa penjimatan dana kerajaan sebanyak RM8 bilion.

Mengulas lanjut, Encik Rafizi berkata kad fleet boleh digunakan bagi subsidi diesel kerana jumlah penerima manfaatnya adalah kecil, antaranya membabitkan syarikat pengangkutan dan logistik.

“Jika petrol, sudah tentu mekanismenya perlu berlainan dan perlu dibincang lebih lanjut kerana ia membabitkan 30 juta pengguna,” katanya.

Encik Rafizi dalam temubual bersama Bloomberg TV pada 20 Oktober juga dilaporkan berkata rancangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 adalah penting bagi reformasi fiskal Malaysia.

Beliau berkata kerajaan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan memandangkan perancangan itu boleh menaikkan inflasi dan mencetuskan kenaikan harga.

“Kami bersedia berdepan cabaran yang mendatang. Dari satu segi, kami telah menghabiskan masa yang lama untuk mempersiapkan golongan terbanyak, menyediakan infrastruktur, pangkalan data dan sebagainya.

“Dengan cara ini, rakyat akan mempunyai lebih masa untuk memahami,” katanya sambil menambah bahawa langkah kerajaan itu adalah “keputusan sekali dalam satu generasi yang memberi kesan kepada kehidupan semua orang”.

Datuk Anwar sebelum ini berkata tujuan langkah penyasaran subsidi petrol RON95 dapat menangani ketirisan dan menjimatkan sehingga 40 peratus subsidi RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan kaya ketika ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg