PETALING JAYA: Empat lagi individu warga tempatan ditahan dipercayai berkait dengan penahanan lelaki Israel, Shalom Avitan, yang diberkas polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada 27 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata semua suspek berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun ditahan di Johor, pada 3 April.
Beliau berkata dua lelaki dan dua wanita tersebut dipercayai dapat membantu kes yang disiasat.
“Kita ada tangkap empat lagi individu berkaitan kes tersebut.
“Semua suspek berusia 28 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah di Johor,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Tambah beliau siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap keempat-empat individu terbabit.
Sehubungan itu, jumlah tangkapan sehingga kini adalah seramai tujuh orang termasuk suspek utama iaitu lelaki Israel berusia 38 tahun.
Mengenai reman suspek suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan enam pistol kepada suspek utama, Tan Sri Razarudin berkata polis akan membuat permohonan sambung reman selepas reman mereka tamat pada 5 April.
Tan Sri Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor, Selangor pada 7.15 malam 30 Mac lalu dan kini direman tujuh hari.
Katanya, pasangan terbabit disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek utama dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.
Terdahulu, suspek utama warga Israel berusia 38 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu bersama enam pistol dan 200 peluru.
Polis turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.
Lelaki Israel itu dikesan masuk ke negara ini menggunakan pasport Perancis yang sah dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama suspek memasuki negara ini selain tujuannya memiliki senjata api.
Suspek kini direman hingga 7 April ini dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg