Topik diikuti
Pergi ke BHkuEmpat lelaki ditahan selepas pergaduhan dekat Tambak Johor
Suspek warga asing didakwa buat provokasi terhadap dua anggota polis trafik yang cuba tenangkan keadaan
JOHOR BAHRU: Empat lelaki berusia antara 25 dengan 46 tahun ditahan susulan pergaduhan di tepi jalan berhampiran laluan masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Tiga daripada mereka ialah warga tempatan, manakala seorang lagi warga asing.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Azrul Hisham Mohd Shaffei, berkata pergaduhan yang berlaku pada kira-kira 12.37 tengah malam, 16 Ogos, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya.
Kejadian membabitkan empat suspek itu turut dirakam dalam sebuah video yang kemudian tular di media sosial.
“Siasatan awal mendapati punca pergaduhan ialah perselisihan faham di jalan raya membabitkan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dengan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan pada 18 Ogos.
Menurut ACP Azrul Hisham, dua anggota polis trafik BSI kemudian cuba menenangkan seorang daripada suspek, iaitu lelaki warga asing itu.
Namun, suspek tersebut didakwa membuat provokasi dan menghalang kedua-dua anggota polis berkenaan daripada menjalankan tugas.
Bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, bersama anggota polis trafik BSI, menahan keempat-empat suspek antara 12.15 tengah malam dengan 1.45 pagi pada hari kejadian.
Polis turut merampas sebuah topi keledar dan sebilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai keseluruhan 16 rekod jenayah dan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap tiga suspek pula mendapati mereka negatif dadah,” katanya.
Keempat-empat suspek direman selama tiga hari dari 17 hingga 19 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian IPD Johor Bahru Selatan di 07-218 2323.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video kejadian bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Terdahulu, rakaman video yang dimuat naik oleh laman web berita Mothership tular menunjukkan pergaduhan antara seorang lelaki dan seorang anggota polis berhampiran BSI Johor Bahru.
