Kerajaan Johor menyokong keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd., atau Network School, serta mengarahkan semua operasinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa 22 Julai ini.

Kerajaan negeri turut menegaskan tiada mana-mana syarikat atau pelabur boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata keputusan itu dibuat mengikut proses dan peruntukan undang-undang selepas mengambil kira laporan pemeriksaan, hasil tindakan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Julai.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas aduan disahkan, pemeriksaan dijalankan dan ketidakpatuhan dikenal pasti mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, tempoh sesebuah premis beroperasi tidak bermakna semua kegiatannya sentiasa mematuhi syarat lesen dan tindakan mesti diambil apabila berlaku pelanggaran undang-undang.

Datuk Onn Hafiz menegaskan Johor terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan, namun semua pelabur tetap tertakluk kepada undang-undang negara.

“Tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau kesalahan lain di bawah undang-undang Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri juga meminta Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meneliti semula status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan jika didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

Selain itu, Datuk Onn Hafiz berkata semua agensi berkaitan perlu memperketat proses penelitian latar belakang syarikat, termasuk aspek pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta pematuhan terhadap undang-undang bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.

Beliau turut memaklumkan semua perkara berkaitan tindakan terhadap syarikat itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata keputusan MBIP dibuat berdasarkan fakta serta proses undang-undang, bukannya dipengaruhi sentimen.

Beliau berkata siasatan mendapati terdapat operasi dijalankan tanpa lesen perniagaan yang sah, penggunaan premis yang tidak selaras dengan kelulusan, penganjuran kelas dan latihan tanpa kebenaran berkaitan serta ketidakpatuhan terhadap syarat papan iklan.

“Pengiktirafan oleh mana-mana kementerian atau agensi Persekutuan tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang negeri dan tempatan. Status Malaysia Digital bukan lesen perniagaan, bukan kelulusan penggunaan bangunan dan bukan alasan untuk mengetepikan peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Datuk Mohd Jafni berkata MBIP akan melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui, termasuk pembatalan lesen perniagaan, arahan menghentikan operasi, penutupan premis serta tindakan pendakwaan sekiranya arahan terus diingkari.

“Johor mengalu-alukan pelaburan, tetapi Johor bukan tempat untuk mana-mana pihak beroperasi sesuka hati. Tiada siapa mengatasi undang-undang dan tiada siapa akan diberikan layanan istimewa,” katanya.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.”
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.