Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeorang maut, seorang patah rusuk kiri ditanduk kerbau ketika ibadah korban
Seorang maut, seorang patah rusuk kiri ditanduk kerbau ketika ibadah korban
Seorang maut, seorang patah rusuk kiri ditanduk kerbau ketika ibadah korban
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi patah tulang rusuk kiri, dalam dua kejadian berasingan selepas ditanduk kerbau untuk ibadah korban di kawasan Ulu Tiram, pada 27 Mei.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian pertama yang berlaku pada 10 pagi di Kampung Tenang membabitkan mangsa lelaki warga tempatan berusia 45 tahun.
“Mangsa cedera selepas ditanduk kerbau dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sebelum disahkan meninggal dunia pada 11 malam.
“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan saluran darah (vaskular) pada kaki kiri.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan pada 28 Mei.
Dalam kejadian kedua pada 2 petang di Batu 19, Kampung Sungai Tiram, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 45 tahun, turut cedera selepas ditanduk kerbau yang tiba-tiba bertindak liar.
Mangsa patah tulang rusuk kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Bagaimanapun, polis belum menerima laporan berkaitan kejadian kedua, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Polis turut memaklumkan kejadian terbabit kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan susulan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini.
Sementara itu, dalam satu lagi kejadian berlainan, seorang warga emas cedera selepas ditanduk seekor lembu yang mengamuk dalam kejadian di Kampung Murni, Layang-Layang, Kluang pada 27 Mei.
Mangsa lelaki tempatan berusia 65 tahun mengalami kecederaan di bahagian ketiak kiri ketika cuba menenangkan haiwan tersebut sekitar 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh, berkata sebelum kejadian mangsa difahamkan telah menjual lembu berkenaan kepada seorang individu lain untuk dijadikan korban.
Menurut beliau, pada 27 Mei, mangsa dihubungi pembeli yang memaklumkan lembu tersebut mengamuk dan sukar dikawal.
“Mangsa kemudian datang ke lokasi bagi membantu menenangkan lembu berkenaan sebelum haiwan itu secara tiba-tiba memberontak, lalu menanduk mangsa di bahagian ketiak sebelah kiri.
‘Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, untuk mendapatkan rawatan lanjut,”katanya lapor Kosmo!.
ACP Bahrin berkata mangsa ditahan di wad selama sehari bagi tujuan pemantauan sebelum dibenarkan pulang ke rumah selepas keadaannya dilaporkan stabil.
Jelasnya, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai tiada unsur jenayah.
