ROMPIN (Pahang): Empat terbunuh manakala 35 lagi cedera dalam nahas membabitkan rombongan sekumpulan guru selepas sebuah bas membawa 39 penumpang dari Melaka ke Terengganu terbalik dalam kemalangan bersama sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Rompin, Pahang.
Mangsa yang maut adalah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, Allahyarham Hasnatul Adilah Hassan, 48 tahun; guru sekolah berkenaan, Allahyarham Dahlia Ahmad, 52 tahun; pembantu operasi sekolah, Allahyarham Hamzah Ahmad, 60 tahun dan pemandu kedua bas persiaran terbabit, Allahyarham Hadi Asyraf Mad Idris, 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Rompin, Timbalan Pesuruhjaya Nor Azman Yusof, berkata seramai 12 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin; Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang; Hospital Segamat, Johor dan Hospital Melaka, Melaka.
“Seramai 23 mangsa sudah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan pesakit luar,” katanya lapor Harian Metro.
Nahas kira-kira 1.30 pagi pada 9 Jun itu dipercayai berlaku apabila bas persiaran membawa 39 penumpang termasuk guru dan dua pemandu itu hilang kawalan dan berlanggar dengan sebuah treler membawa muatan gelung besi, sebelum terbabas dan terbalik ke cerun jalan.
Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa rombongan guru SK Jeram bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata pihaknya berdukacita terhadap insiden berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunggu laporan penuh berhubung kemalangan bas membawa rombongan guru SK Jeram itu dan sedang mengambil segala langkah memastikan kebajikan guru serta keluarga mereka yang terlibat.
“Oleh kerana sekolah ini kehilangan guru, maka kita kerahkan kaunselor untuk turun ke SK Jeram untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan guru termasuk juga anak murid yang kehilangan guru dalam kejadian ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg