BENTONG (Pahang): Ketua Pemuda Umno Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, dan tiga ahli keluarganya disahkan maut dalam kejadian kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di Jalan Janda Baik-Bentong, Pahang, pada 3 Ogos.

Tiga lagi yang maut adalah isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36 tahun; seorang daripada anak kembar mereka yang berusia lima tahun, Muhammad Rizz Hazim; dan adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35 tahun.

Seorang lagi anak kembar pasangan itu, Muhammad Rizz Haziq, dilaporkan parah dan menerima rawatan di Hospital Bentong sebelum dipindahkan ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut.

Kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu berlaku ketika kenderaan jenis Ford Raptor dinaiki Allahyarham Mohd Radzi dan lima ahli keluarganya dipercayai dalam perjalanan dari Bentong menuju ke Janda Baik, sebelum dihempap sebatang pokok yang tiba-tiba tumbang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Encik Mohd Salahuddin Isa, berkata lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dibantu Pasukan Bomba Sukarela Janda Baik, mengambil masa lebih sejam untuk menarik keluar empat mangsa yang tersepit dalam pikap berkenaan, sebelum mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang turut menziarah jenazah mangsa, berkata Allahyarham Mohd Radzi disifatkan sebagai seorang yang sentiasa ceria serta mudah didekati semua lapisan masyarakat.

Beliau amat sedih atas kehilangan pemimpin pemuda itu dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada Pahang.

“Sebagai pemimpin Pemuda Umno, Allahyarham sentiasa bekerja kuat dan memberi banyak sumbangan kepada parti.

“Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada parti serta masyarakat di Maran, khususnya golongan belia,” katanya, lapor Harian Metro.

Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, pula berkata parti kehilangan tokoh pemuda yang berbakat.

Secara peribadi, katanya, beliau rapat dengan Allahyarham dan tahu Allahyarham amat disenangi semua lapisan masyarakat, terutama golongan belia di Maran.

Jenazah empat sekeluarga itu selamat dikebumikan dalam satu liang sekitar 3.15 pagi 4 Ogos di Tanah Perkuburan Taman Sri Chedung, Maran, dengan dihadiri lebih 1,000 anggota keluarga, pemimpin politik dan kenalan.