KOTA BHARU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dihempap sebatang pokok pulai dipercayai berusia lebih 200 tahun, dalam kejadian ribut di Kampung Petani, Sering, di Bachok, Kelantan, pada 15 Julai.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Allahyarham Sauti Mohamad, 55 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada beberapa anggota badan.

Saksi kejadian, Encik Aziz Ismail, 48 tahun, berkata beliau terdengar bunyi dentuman berhampiran rumahnya, sebelum melihat sebatang pokok pulai yang sudah reput tumbang melintang jalan.

Katanya secara kebetulan, sebuah jengkaut melalui jalan berkenaan sebelum diminta membantu mengalihkan pokok tersebut.

“Selepas pokok dialihkan, saya terkejut melihat seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri atas jalan.

“Ketika itu saya percaya mangsa sudah meninggal dunia dan meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi ambulans,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Kosmo!.

Encik Aziz tidak menolak kemungkinan akar pokok berkenaan sudah uzur menyebabkannya tumbang ketika angin kencang.

Sementara itu Harian Metro melaporkan, anak mangsa, Encik Mohamad Shafiq, 23 tahun, berkata ketika kejadian bapanya sedang menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.

“Saya dihubungi rakan memaklumkan kejadian menimpa ayah dan menyangka dia hanya bergurau. Saya kemudian pulang ke rumah untuk melihat sama ada ayah ada di rumah atau tidak.

“Bagaimanapun ayah tidak kelihatan dan selepas itu saya dapat berita sama daripada kumpulan WhatsApp yang disertakan sekali gambar ayah.

“Saya segera ke tempat kejadian dan melihat jasad ayah tanpa kecederaan teruk, hanya sedikit darah sahaja kelihatan di tepi bibirnya dan kami merasakan batang pokok itu terkena belakang tengkuknya,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Encik Mohamad Shafiq berkata walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa bapanya, mereka sekeluarga reda.

“Malam tadilah perbualan terakhir kami sebelum ayah pergi selamanya,” katanya.