Topic followed successfully
Go to BHkuEnggan ikut tarikh rasmi mula puasa: Pengetua madrasah di Johor, 2 anak didenda
Enggan ikut tarikh rasmi mula puasa: Pengetua madrasah di Johor, 2 anak didenda
Enggan ikut tarikh rasmi mula puasa: Pengetua madrasah di Johor, 2 anak didenda
MUAR: Seorang pengetua sebuah madrasah di Johor dikenakan denda RM5,000 ($1,611), manakala dua anak lelakinya dikenakan hukuman denda masing-masing RM2,500 seorang, oleh Mahkamah Syariah Muar, Johor, pada 7 Mei, atas pertuduhan mengingkari arahan pihak berkuasa berkaitan tarikh permulaan puasa 1 Ramadan.
Ambiah Bunanjin, 68 tahun; anaknya, Abdul Qodir Jailani, 29 tahun, serta Muhammad Idris, 25 tahun, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Fadzil Esa.
Mahkamah juga memerintahkan Ambiah menjalani hukuman penjara dua tahun dan Abdul Qodir Jailani serta Muhammad Idris setahun, sekiranya mereka gagal menjelaskan denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ambiah didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan mengetuai upacara melihat anak bulan serta enggan mengikuti arahan untuk berpuasa pada tarikh ditetapkan iaitu pada 19 Februari lalu (1 Ramadan).
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pantai Parit Penyengat, dan madrasah tertuduh di Muar, Johor, pada 18 dan 19 Februari lalu, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Abdul Qodir Jailani, yang juga tenaga pengajar di madrasah itu dan Muhammad Idris, dituduh bersubahat dengan bapanya menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.
Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapat maklumat mengenai terdapat beberapa individu mula berpuasa pada 20 Februari (2 Ramadan) selepas melihat sendiri anak bulan pada 18 Februari lalu.
Siasatan dijalankan mendapati Ambiah serta beberapa orang anak muridnya serta orang awam pergi pantai Parit Penyengat, pada 18 Februari dan mereka mula berpuasa pada 2 Ramadan (20 Februari).
Tertuduh mendakwa anak bulan tidak kelihatan dan memberitahu supaya mula berpuasa pada tarikh berkenaan.
Muhammad Idris yang bertindak sebagai pengendali kumpulan WhatsApp kemudian menyebarkan pesanan itu kepada ahlinya seramai 72 orang serta turut dikongsi orang awam sehinggalah penguatkuasa JAINJ menerima aduan itu.
Menyusuli itu, penguatkuasa JAINJ menahan tertuduh serta dua pengikutnya bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Mohamad Fadzil dalam penghakiman berkata kesalahan itu adalah berat yang tidak sepatutnya berlaku di negeri ini, yang mempunyai Sultan sebagai Ketua Agama.
“Jangan cuba mengada-adakan hukum sendiri dengan membelakangi mufti dan Sultan. Tertuduh sepatutnya mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan,” katanya.
Pada masa sama, mahkamah meminta supaya madrasah terbabit diletakkan di bawah pemantauan ketat oleh JAINJ sesuai dengan prosedur dan ketetapan oleh jabatan itu.
Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tiga beranak itu diberi bimbingan serta pemulihan termasuk pengikut dan pentadbiran madrasah.
