Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FashionValet: Akaun syarikat Vivy dibeku SPRM

Nov 18, 2024 | 12:34 PM
Pengasas FashionValet Sdn Bhd tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 13 November. Proses merakam keterangan pasangan pengasas perniagaan fesyen dalam talian tempatan itu disambung bagi membantu siasatan berhubung kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Pengasas FashionValet Sdn Bhd tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 13 November. Proses merakam keterangan pasangan pengasas perniagaan fesyen dalam talian tempatan itu disambung bagi membantu siasatan berhubung kes kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB). - Foto fail

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes kerugian pelaburan dalam platform e-dagang, FashionValet, diperluaskan dengan pembekuan akaun syarikat yang mengeluarkan produk tudung jenama mewah milik pasangan usahawan, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu berkata akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) dibekukan bagi mempercepatkan siasatan kes kontroversi yang membabitkan kerugian dana awam itu.

“SPRM membekukan beberapa akaun syarikat (yang dikaitkan dengan FashionValet) dan akaun 30 Maple juga dibekukan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini sebuah portal mendedahkan FashionValet membeli 30 Maple – sebuah syarikat yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Datin Vivy dan suaminya, Datuk Fadzarudin, dengan harga RM95 juta ($28.6 juta). 

Pembelian itu dibuat pada tahun sama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melabur RM47 juta dalam FashionValet, iaitu syarikat yang diasaskan oleh Datin Vivy dan Datuk Fadzaruddin.

Tan Sri Azam dilaporkan berkata siasatan pihaknya turut menjurus kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai 30 Maple Sdn Bhd.

Sementara itu, Tan Sri Azam mengarahkan siasatan kes FashionValet dipercepatkan dengan kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata setakat ini empat saksi baru telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan, selepas 14 saksi dipanggil untuk membantu siasatan kes.

Kementerian Kewangan baru-baru ini mendedahkan tiga faktor luar jangka menyebabkan kegagalan FashionValet, iaitu syarikat perniagaan fesyen dalam talian, sehingga pelaburan disuntik Khazanah dan PNB mengalami kerugian.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata satu daripadanya disebabkan implikasi Covid-19 yang menghalang perniagaan fizikal FashionValet dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara.

Faktor kedua pula, katanya perubahan trend platform fesyen e-dagang, yang mana perkembangan pesat jenama fesyen tempatan terutama fesyen sopan, yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri berserta saluran alternatif mudah akses seperti Facebook, telah menyebabkan FashionValet mengalami saingan hebat.

“Faktor terakhir adalah cabaran pengumpulan dana di mana semua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada FashionValet.

“Ia berusaha mengumpulkan dana baru untuk menangani masalah ini, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet dan proses pengumpulan dana dijalankan FashionValet tidak berjaya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg