KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 11 laporan membabitkan satu video tular yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan temu ramah pemimpin itu dengan media antarabangsa, CNN, baru-baru ini.
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata setakat ini terdapat 11 laporan berkaitan fakta isu sama dan seramai 12 saksi sudah dirakam keterangan.
Beliau berkata PDRM akan merujuk kertas siasatan kes berkenaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), dalam masa terdekat.
“Siasatan berkaitan kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT). Kertas siasatan akan dirujuk ke AGC dalam masa terdekat,” katanya, lapor Harian Metro.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan Gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SGGMSR), membuat laporan polis berhubung satu video tular didakwa memfitnah Datuk Anwar berkaitan temu ramah beliau dengan CNN.
Jurucakap gabungan itu, Encik Shahbudin Embun, dilaporkan berkata video dimuat naik seorang individu menggunakan akaun ‘Papa Berry Studio’ di platform YouTube itu bertujuan menghasut orang ramai untuk menimbulkan kemarahan rakyat, terutama umat Islam di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizmie Affendy Sulaiman, dilaporkan mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes terbabit akan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Baru-baru ini, satu video memaparkan seorang individu mendakwa kononnya Datuk Anwar mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Bagaimanapun, Datuk Anwar ketika menjelaskan mengenai isu itu berkata beliau tidak mengiktiraf negara Israel, dan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.
Datuk Anwar dalam pernyataan balasnya terhadap kecaman dan manipulasi pihak yang memutarbelitkan kenyataannya dalam wawancara CNN, menyifatkan tindakan memanipulasi kenyataannya mengenai Israel dianggap tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan masyarakat.
Dalam wawancara dengan hos Encik Richard Quest itu, Datuk Anwar turut menegaskan pendirian moralnya untuk tidak menyokong keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang pembunuhan terhadap mana-mana pemimpin politik.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang dianggap sebagai berlebihan memainkan isu kononnya Datuk Anwar mengiktiraf Israel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg