Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua pesawat TUDM ke Mesir, ambil rakyat Palestin cedera dirawat di M’sia

Aug 15, 2024 | 4:17 PM
Dua pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir, untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan. 
Dua pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir, untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.  - Foto DEFENSE SECURITY ASIA

Malaysia memulakan satu lagi misi membantu rakyat Palestin yang berdepan serangan Israel, dengan menerbangkan dua pesawat pengangkut, A400M, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir.

Misi bantuan menerusi pesawat berkenaan dibuat selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan hasrat membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan, pada Himpunan Solidariti Palestin pada 4 Ogos.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengesahkan perkara itu tetapi berkata butiran lanjut berhubung misi tersebut akan dimaklumkan secara terperinci pada 16 Ogos.

“Ya. Butiran lanjut mengenainya akan dimaklumkan pada Jumaat (16 Ogos) ini. Saya akan maklumkan berapa ramai, bila dan di mana mereka akan dirawat nanti,” katanya.

Menurut laporan langsung trafik udara FlightRadar24, dua pesawat A400M berkenaan berlepas dari Pangkalan TUDM Subang, Selangor, kira-kira 7 malam pada 13 Ogos dan mendarat di Pangkalan Udara Al Maza sekitar 6 pagi waktu tempatan.

Di laman sosial, usaha kerajaan Malaysia itu mendapat sokongan dan pujian orang ramai yang turut mendoakan kejayaan misi berkenaan.

Airbus A400M Atlas adalah pesawat pengangkutan tentera turboprop (turbin gas) empat enjin keluaran Eropah yang direka oleh Airbus Defence and Space sebagai pesawat pengangkut udara taktikal dengan keupayaan strategik.

Ia juga mempunyai keupayaan mengisi minyak di ruang udara dan boleh dipasang untuk melakukan tugas pemindahan perubatan yang boleh menampung hingga 66 pengusung dan 25 kakitangan perubatan.

Datuk Anwar dalam ucapannya semasa perhimpunan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, itu berkata Malaysia berhasrat membawa sebahagian rakyat Palestin yang cedera dan sakit, terutama wanita serta kanak-kanak, untuk dirawat di negara itu.

Menurut Datuk Anwar, beliau sudah menghubungi Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, bagi membantu memudahkan urusan tersebut.

“Insya-Allah, kita akan lakukan sedaya upaya kita dan suarakan pandangan kita tidak kira depan sesiapa. Kita akan bantu yang sakit, sama ada dirawat di sana atau dibawa ke mari untuk diberikan rawatan. Kita akan teruskan tanpa tolak ansur.

“Kerajaan akan peruntukkan dana. Saya bincang dengan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour. Saya ucap terima kasih kerana kerjasama yang diberikan,” katanya.

Agensi Berita dan Info Palestin (Wafa) sebelum ini melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober meningkat kepada 38,584 orang, manakala lebih 88,800 cedera.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg