Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fitnah bekas menantu: Cef Wan tarik rayuan, ganti rugi RM150,000 kekal

Oct 29, 2024 | 11:49 AM
 Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan (kanan), diperintahkan membayar ganti rugi RM150,000 ($45,488) kerana memfitnah bekas menantunya, Encik Gavin Edward O’Luanaigh.
 Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan (kanan), diperintahkan membayar ganti rugi RM150,000 ($45,488) kerana memfitnah bekas menantunya, Encik Gavin Edward O’Luanaigh. - Foto NSTP

PUTRAJAYA: Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan, kekal diperintah membayar ganti rugi RM150,000 ($45,488) kepada bekas menantunya, Encik Gavin Edward O’Luanaigh, berhubung penerbitan berunsur fitnah di wadah media sosial.

Perkara tersebut ditentukan selepas Cef Wan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membatalkan permohonan itu dan memerintahkan selebriti berkenaan membayar kos RM5,000, lapor Kosmo!.

Pada prosiding itu, peguam Cik Nur Adilah Nabilah Abdull Jamal mewakili Cef Wan (pemohon), manakala bekas menantunya diwakili Cik Nur Khidmah Huzaisham.

Cef Wan sebelum ini memfailkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada Encik O’Luanaigh berhubung penerbitan berunsur fitnah di wadah media sosial.

Pada 26 Jun, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama-sama Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan Encik O’Luanaigh untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpendirian kenyataan Cef Wan itu tidak memfitnah beliau.

Panel berkenaan memerintahkan Cef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada bekas menantunya dan kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah turut memberikan injunksi kekal yang melarang Cef Wan menerbitkan kenyataan yang memfitnah Encik O’Luanaigh.

Panel itu turut memerintahkan Cef Wan membayar faedah 5 peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan hingga tarikh penyelesaian penuh.

Mahkamah Rayuan berpendapat Cef Wan melanggar janji kepada mahkamah untuk tidak menyiarkan kenyataan fitnah terhadap bekas menantunya.

Encik O’Luanaigh, seorang warga Britain, memeluk Islam pada 20 November 2006 dan menggunakan nama Salahudin Ghafffar.

Beliau berkahwin dengan anak Cef Wan, pelakon Serina Redzuawan, pada 2010 dan mereka bercerai pada Ogos 2017.

Beliau memfailkan saman itu pada Februari 2021, mendakwa bahawa lapan hantaran media sosial oleh Cef Wan mengenai beliau dan isterinya yang sekarang memfitnah mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg