Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila Gaza: Anwar bangga perjuangan 23 aktivis M’sia

Oct 9, 2025 | 10:28 AM
bangga, Anwar, Flotila Gaza
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada malam 8 Oktober. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluahkan rasa bangga dengan perjuangan serta pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau berkata misi kemanusiaan untuk memberikan bantuan kepada penduduk Gaza itu telah mencipta sejarah negara tersendiri apabila anak Malaysia terdiri daripada pelbagai rakyat berani mengharungi cabaran besar demi perpaduan sejagat.

Datuk Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata beliau turut menghormati semangat dan keberanian peserta GSF yang sanggup meninggalkan keluarga demi perjuangan kemanusiaan, walaupun berdepan dengan risiko tinggi.

“Ini bukan melawat Paris, ini nak pergi ke Gaza yang dikuasai Israel. Saya sebagai seorang bapa, tentunya risau kerana saya tahu mereka cari susah.

“Tetapi, saya hormat mereka kerana anak-anak ini mencipta sejarah. Mereka bukan sekadar berbicara, tetapi melangkah dalam jihad sebenar,” kata beliau pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini pada malam 8 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar berkata pelayaran misi GSF itu turut mendapat perhatian dunia apabila keberanian peserta termasuk wakil Malaysia, menjadi simbol keteguhan dan perpaduan rakyat sejagat terhadap perjuangan Palestin.

Beliau juga membidas dakwaan segelintir pihak yang perlekeh perjuangan peserta GSF dengan menuduh mereka mempunyai niat atau agenda tertentu.

“Saya tabik mereka sebab saya kalau nak pergi pun tak mudah juga. Mereka pergi, tetapi ada yang cakap niat dia mungkin tak baik, nak popular, nak popularkan pondok dia — manusia jenis apa ini?

“Kamu tak berani pergi. (Jadi, apabila orang (lain) pergi, kamu doakanlah. Itu yang mampu kita buat,” kata beliau sambil menambah bahawa semangat aktivis itu jauh lebih bermakna berbanding mereka yang hanya pandai berbicara tanpa berbuat apa-apa untuk membantu perjuangan rakyat Palestin.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting buat penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan Israel.

Namun, nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia apabila ditahan tentera Israel pada 2 Oktober lalu, selepas kapal mereka dipintas di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Bagaimanapun, semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Oktober hasil usaha keras Perdana Menteri serta bantuan pemerintah Turkey.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg