Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila Gaza: Sebilangan sukarelawan M’sia dikasari, terpaksa dirawat di hospital

Perdana Menteri Malaysia berkata satu himpunan khas akan dianjur bagi merai kepulangan mereka
Oct 6, 2025 | 2:13 PM
Flotila, Malaysia, Turkey
Duta Besar Malaysia ke Turkey, Encik Sazali Mustafa Kamal (tengah), menyambut ketibaan kumpulan sukarelawan Malaysia dalam misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Istanbul, selepas dibebaskan tentera Israel. - Foto KEDUTAAN BESAR MALAYSIA ANKARA

Semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi pelayaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), dijangka pulang dengan penerbangan dari Turkey pada 6 Oktober, namun masing-masing berkongsi kisah layanan zalim tentera Israel sepanjang dalam tahanan.

Lebih menyedihkan, dua daripada sukarelawan itu, iaitu Cik Ardell Aryana, yang pernah aktif sebagai pelakon dan Encik Haikal Abdullah, terpaksa dirawat di hospital di Istanbul, Turkey, kerana diperlakukan dengan kekerasan sehingga mendatangkan kecederaan.

Suami Cik Ardell, Encik Nadzmi Adhwa, dalam hantaran di media sosial memaklumkan isterinya mengalami kecederaan koyak tisu pada bahu, ditumbuk di muka, ditarik rambut dengan kasar, ditarik tudungnya, sehingga sukarelawan itu lemah.

Menurut Encik Nadzmi, isterinya itu yang pernah menghidap barah turut mengalami tekanan darah rendah akibat kejadian itu.

Sementara itu, abang kepada Cik Ardell yang hanya dikenali sebagai Ayib dalam satu hantaran di TikTok turut berkongsi mengenai keadaan kesihatan sukarelawan itu yang mengalami lebam di badan.

“Keadaan Ardell Aryana kurang baik. Dia sedang dirawat. Badannya lebam-lebam dan tisu bahunya koyak. Doktor hendak periksa darah pun tidak dapat sebab darah tak keluar. Ardell diberi ‘drip’ dan ubat untuk cairkan darahnya.

“Patutlah apabila keluar penjara keadaannya sangat lemah. Depan kamera dia tersenyum, rupanya dia sembunyikan kesakitan,” katanya.

Berita Harian Malaysia (BHM) pula melaporkan, Encik Haikal mengalami kecederaan di beberapa jari akibat dipijak oleh anggota tentera Israel di bahagian tangan dan memerlukan rawatan lanjut.

Peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Encik Fahmi Abd Moin, dilaporkan berkata beberapa lagi aktivis Malaysia turut diperlakukan sedemikian, termasuk Pencetus Ummah (PU) Rahmat; penyanyi Zizi Kirana dan selebriti adik-beradik, Nur Heliza dan Hazwani Helmi.

Encik Fahmi turut memaklumkan rambut Cik Ardell turut ditarik dengan kasar, selain ditumbuk di bahagian muka oleh tentera Israel sehingga mengalami kecederaan ketika tentera Israel terbabit memintas kapal yang dinaiki sukarelawan itu.

Dalam satu video temu bual, Zizi Kirana berkata tudungnya beberapa kali ditarik termasuk ketika di penjara dan bajunya di bahagian dalam digunting.

“Di penjara dan ketika kapal dipintas mereka tarik hijab dan tak bagi saya pakai hijab.

“Masa itu saya doa ya Allah kau berilah balasan setimpal kepada mereka yang zalim ini dan saya hanya mampu sebut Ya Rabb,” kongsinya.

Hazwani dalam satu temu bual dengan stesen televisyen Al-Jazeera pula memaklumkan mereka yang ditahan dilayan seperti binatang, tidak diberi makan dan air minuman bersih sehingga terpaksa minum air dari tandas.

Menurut BHM, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Encik Ahmad Amiri Abu Bakar, menjangkakan 23 sukarelawan Malaysia yang terbabit dalam misi GSF pulang dengan penerbangan pada 6 Oktober.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula dalam hantaran di Facebook bersyukur semua sukarelawan dalam keadaan baik dan telah dibebaskan dan berhasrat menganjurkan satu himpunan khas bagi meraikan kepulangan wira dan wirawati kemanusiaan itu.

“Saya menzahirkan penghargaan atas keberanian, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza yang terus dizalimi.

“Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia yang menjunjung nilai kemanusiaan tanpa mengenal sempadan,” katanya.

GSF adalah misi bantuan kemanusiaan menerusi pelayaran ke Gaza disertai ratusan sukarelawan dari sekurang-kurangnya 37 negara termasuk Sweden, Brazil, Perancis, Italy dan Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg