Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila Gaza: Putrajaya gerak usaha pastikan rakyat selamat

Sep 26, 2025 | 12:22 PM
Malaysia, Gaza, Global Sumud Flotilla, GSF, Palestine
Pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir September. - Foto EPA

SEPANG (Selangor): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan iltizam kerajaan untuk memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Ini selain lebih 500 peserta antarabangsa lain yang kini berdepan keadaan getir di wilayah bergolak itu.

Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kerajaan bersedia menggerakkan saluran diplomatik menerusi negara sahabat berdekatan bagi menjamin keselamatan semua peserta misi GSF.

“Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara sahabat untuk membantu sedaya mungkin, bukan sahaja 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, bahkan juga seluruh 500 ahli rombongan flotila supaya tindakan segera dapat dilakukan untuk menyelamatkan mereka,” katanya, lapor portal berita, Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Central Warehouse di Sepang, Selangor.

Datuk Ahmad Zahid berkata beliau akan turut menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk membincangkan langkah diplomatik yang boleh diambil segera.

Selain itu, perbincangan akan diadakan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, mengenai kaedah terbaik melibatkan kementerian itu dalam usaha bantuan dan pemulangan peserta misi ke tanah air.

“Kita akan perincikan jenis dan bentuk bantuan yang akan kita berikan nanti,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid menegaskan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada 34 individu terbabit kerana berani menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza meskipun berdepan pelbagai cabaran dan ancaman.

Menurutnya, mereka berlayar jauh menempuh risiko termasuk serangan bom dan dron serta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan kejayaan misi itu yang kini berada di zon kuning dan dijangka memasuki zon merah dalam masa terdekat.

Datuk Ahmad Zahid juga berkata misi melibatkan 45 negara itu membuktikan semakin banyak negara bersama Palestin, termasuk yang sebelum ini menyokong Israel tetapi kini berubah haluan seperti Britain.

Sebelum itu, Datuk Ahmad Zahid mengadakan telesidang bersama 34 rakyat Malaysia yang kini dalam pelayaran di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Kumpulan rakyat Malaysia itu merupakan sebahagian aktivis dari 44 negara yang kini semakin menghampiri Gaza dan cekal berdepan pelbagai rintangan dan ugutan termasuk serangan dron.

“Misi ini bukan soal agama tetapi soal kemanusiaan sejagat. Gaza berdepan kebuluran dan penindasan. Wira serta wirawati kita mewakili Malaysia telah menunjukkan keberanian luar biasa,” katanya.

Datuk Ahmad Zahid menyifatkan serangan udara Israel terhadap pelarian di Gaza sebagai cubaan menakut-nakutkan konvoi kemanusiaan GSF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg