Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila Gaza: Suami selebriti M’sia dalam tahanan mohon doa isteri selamat

Oct 4, 2025 | 5:29 PM
Keadaan terkini selebriti Malaysia dan aktivis kemasyarakatan, (dari kiri), Hazwani Helmi, Ardell Aryana, dan Datin Heliza Helmi, yang ditahan tentera Israel, semasa mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), menimbulkan kerisauan buat anggota keluarga tersayang.
Keadaan terkini selebriti Malaysia dan aktivis kemasyarakatan, (dari kiri), Hazwani Helmi, Ardell Aryana, dan Datin Heliza Helmi, yang ditahan tentera Israel, semasa mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), menimbulkan kerisauan buat anggota keluarga tersayang. - Foto INSTAGRAM HELIZA HELMI

KUALA LUMPUR: Hati dirundung bimbang apabila isteri yang mengambil risiko dan merantau demi misi kemanusiaan berada dalam zon perang dan kini ditahan tentera Israel.

Inilah yang diluahkan beberapa suami selebriti yang terlibat dalam pelayaran sekumpulan kapal kecil bagi misi membantu penduduk di Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), apabila tidak lagi mendapat berita daripada isteri mereka susulan kejadian ditahan itu.

Usahawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, 41 tahun, yang merupakan suami penyanyi lagu kerohanian, Datin Nur Heliza Helmi, 39 tahun, berkata:

“Kami harap kerajaan Malaysia akan mempercepatkan proses untuk kembalikan isteri dan adik ipar saya serta aktivis kemanusiaan lain. Sebab pihak di Israel dah salah takrif mereka sebagai pengganas.”

Beliau juga mendapat berita pihak Israel tidak membenarkan peguam mewakili semua tahanan itu.

“Memang di Amman, Jordan dan lain kawasan berhampiran, ada peguam Malaysia. Tetapi kami dimaklumkan apabila individu itu jatuh dalam kategori pengganas, peguam tak boleh sokong atau bela.

“Itu yang merisaukan saya. Jadi kalau dari saluran diplomatik kerajaan boleh buat sesuatu dengan segera, itulah yang terbaik, Insya-Allah,” katanya kepada akhbar Harian Metro.

Ditanya berkenaan perkembangan isterinya dan tahanan lain yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, Datuk Mahadi berkata setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat yang sahih, namun menerima mesej dari pelbagai individu berkaitan hantaran ‘Celebrity For Palestin’.

Bagaimanapun, beliau ternampak satu rakaman video yang menunjukkan Heliza dan adiknya, Hazwani Helmi, 28 tahun, di satu sudut pelabuhan, yang tidak dapat dikenal pasti.

“Tak tahu pelabuhan mana tetapi macam nampak kontena di situ.

“Saya tak dapat pesanan daripada mereka. Pesanan terakhir dalam hantaran saya di ‘Instagram Story’ hanya daripada penganjur misi bantuan kemanusiaan. Saya hanya mampu menanti di sini,” jelasnya sambil memohon orang ramai mendoakan isterinya dan sukarelawan lain yang terjejas.

Pelakon Nadzmi Adhwa, 32 tahun, suami kepada seorang lagi aktivis kemanusiaan dan juga pelakon, Ardell Aryana, 35 tahun, pula meminta segelintir pihak berhenti mempertikai dan mempersoal penyertaan Ardell dan selebriti lain dalam misi GSF.

Nadzmi atau nama sebenarnya, Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, menyeru orang ramai terus doakan keselamatan peserta misi kemanusiaan itu ke Gaza.

“Dunia begitu puji rakyat Malaysia yang berada atas kapal, bagaimana mereka sangat menjaga solat dan menjaga aurat mereka. Yang tak naik kapal di sini pula macam tahu sangat apa jadi dalam kapal tu.

“Bukan minta apa pun. Minta doa saja. Ingat mereka naik kapal itu pergi jalan-jalan?,” katanya, terkesan dengan komen meleret netizen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg