Satu lagi kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak dikosongkan dan kali ini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang di Selangor, berbeza dengan keputusan Speaker DUN Kelantan yang mengosongkan kerusi DUN Nenggiri yang berdepan isu sama.
Speaker DUN Selangor, Encik Lau Weng San, mengumumkan keputusannya bahawa Datuk Abdul Rashid Asari, yang terlucut keahlian daripada Bersatu selepas mengisytihar sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kekal menyandang kerusi itu.
Encik Lau memberitahu DUN, pemberhentian keahlian Datuk Abdul Rashid dalam Bersatu didapati sebagai ‘pemecatan terancang’ berdasarkan Perlembagaan Negeri Selangor.
“Notis dan bukti dari Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.
“Selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian bahawa tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka,” katanya pada 11 Julai, sambil memaklumkan sidang DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menyifatkan keputusan Encik Lau amat mengecewakan sambil menyifatkan Speaker membuat keputusan tidak bersandarkan Perlembagaan dan undang-undang serta bersifat kepartian.
Datuk Azmin berkata kedudukan Datuk Abdul Rashid yang telah terhenti keahliannya diperakui Speaker DUN Selangor apabila mengubah kedudukan Adun Selat Klang itu di dalam DUN.
“Speaker telah mengubah kedudukan Adun Selat Klang yang dianggap tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik selepas menerima notis yang dikemukakan.
“Perkara pokok apabila dia (Datuk Abdul Rashid) terhenti menjadi ahli mana-mana parti kena rujuk balik Perlembagaan perkara 49A, seseorang ahli Dewan hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya hendaklah dikosongkan.
“Sekarang ini Selat Kelang (Datuk Abdul Rashid) tidak lagi jadi anggota Bersatu. Saya kemukakan dokumen dan Speaker mengesahkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan kekecewaan dengan sikap tidak profesional Speaker DUN yang tidak membenarkan sebarang pertanyaan ataupun perbahasan, susulan pengumuman keputusan itu.
“Beliau (Speaker) tangguhkan Sidang DUN Selangor hari ini (11 Julai) dan keputusannya dibuat pada hujung sesi (sidang DUN). Bila hendak tangguh, baru buat keputusan. Ia akan menjadi krisis jika Speaker DUN tidak menjalankan tugas sepertimana diamanahkan,” katanya.
Pada 5 Mac , Datuk Abdul Rashid, yang juga mantan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengumumkan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Amirudin, menyusuli tindakan enam Ahli Parlimen (AP) Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal 2024.
Terdahulu pada 10 Julai, Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Johari Abdul, memutuskan enam bekas AP Bersatu yang mengisytihar sokongan kepada Datuk Anwar, kekal sebagai wakil rakyat, sekali gus menyaksikan AP terbabit tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg