KUALA LUMPUR: Gas berbahaya terkumpul di dalam sebuah tangki najis di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini adalah cabaran utama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam mengesan mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Sumber menyatakan perkara itu diketahui selepas pasukan SAR turun ke dalam tangki besar setinggi 15 meter itu, yang menyimpan bahan kumbahan di sekitar ibu kota.
“Ada pelbagai jenis gas berbahaya di dalam tangki berkenaan, antaranya gas hidrogen sulfida dan gas metana, yang bukan sahaja beracun, bahkan mudah terbakar,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Hidrogen sulfida adalah gas tidak berwarna, beracun, mudah terbakar dan berbau seperti telur busuk. Ia timbul daripada kegiatan biologi ketika bakteria menguraikan bahan organik dalam keadaan tanpa oksigen (kegiatan anaerobik).
Sumber itu berkata anggota SAR mengenakan Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE) khas yang hanya boleh digunakan sekali dan alat bantuan pernafasan ketika turun ke dalam tangki itu.
Menurutnya, mereka akan diturunkan menggunakan sistem tali ke dasar tangki tersebut dan di bahagian penapis bagi tujuan pencarian sebarang petunjuk berkaitan mangsa.
“Kerja mencari menggunakan tangan dan alat khas. Semasa di dalam tangki, anggota pasukan SAR tidak boleh melakukan pergerakan secara kasar atau menguis longgokan najis dengan kuat kerana gas metana yang terkumpul mudah terbakar, segalanya mesti dilakukan dengan berhati-hati.
“Kerja mencari akan dijalankan di dalam tangki itu dan di kawasan penapis untuk mengesan jika terdapat sebarang benda asing terperangkap, selepas semua najis yang berada di dalam tangki berkenaan dipam keluar dan hingga semalam (26 Ogos), hasilnya masih negatif,” katanya.
Pada 23 Ogos, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48 tahun, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan kejadian tanah jerlus itu.
Mangsa yang sedang melancong di Malaysia bersama keluarganya, dilaporkan sedang berjalan di kawasan tersebut untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan apabila kejadian itu berlaku.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg