Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelanggang pilihan raya kecil DUN Kelantan buka tirai 3 Ogos

BN-Umno wakili Kerajaan Perpaduan letak Ketua Pemuda Umno Kelantan lawan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS
Aug 2, 2024 | 3:38 PM
Pekan Nenggiri di Gua Musang. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri masing-masing pada 3 dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos hari mengundi.
Pekan Nenggiri di Gua Musang. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri masing-masing pada 3 dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos hari mengundi. - Foto NSTP

Gelanggang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan akan membuka tirainya selepas proses penamaan calon selesai pada 3 Ogos.

Menjelang proses penamaan calon, yang akan bermula pada 9 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan setakat ini 10 borang pencalonan telah dibeli wakil beberapa parti.

SPR berkata dalam satu kenyataan bahawa setiap bakal calon diberi tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, sebelum senarai mereka yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Sebaik proses pencalonan selesai, bermulanya tempoh kempen selama 14 hari untuk setiap calon bagi meraih undi di kawasan DUN Nenggiri, sebelum hari pengundian pada 17 Ogos.

Bagi PRK DUN Nenggiri, iaitu satu daripada tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Gua Musang, terdapat 20,259 pemilih berdaftar, termasuk 14 anggota polis yang akan mengundi secara pos.

Daripada jumlah itu, lebih 80 peratus adalah pengundi Melayu, manakala selebihnya Cina, India dan Orang Asli.

Barisan Nasional (BN)-Umno mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38 tahun, sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

Gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), pula menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Encik Mohd Rizwadi Ismail, yang juga bekas Timbalan Ketua Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS), sebagai calon.

Ia mencetus kontroversi kerana Encik Mohd Rizwadi, 41 tahun, dikatakan dipilih menjadi calon selepas hanya dua hari menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia. PN dianggotai antaranya oleh Bersatu, PAS dan Gerakan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dalam kenyataannya memberi peringatan kepada semua pihak supaya tidak melakukan sebarang provokasi menyentuh isu 3R, iaitu kaum, agama dan raja, yang boleh mencetus kekecohan dan menggugat keselamatan serta ketenteraman awam, sepanjang tempoh kempen.

PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi itu pada 19 Jun.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu, yang melucutkan keahlian Adun Nenggiri, Encik Mohd Azizi Abu Naim.

Ia selepas Encik Mohd Azizi, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, mengumumkan sokongannya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membelakangi prinsip dan pendirian Bersatu.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri adalah yang pertama diadakan di Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos 2023.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg