Walaupun pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, hanya akan diadakan pada 17 Ogos, kehangatannya sudah terasa dengan pemilihan calon parti yang bakal bertanding.
Selepas Kerajaan Perpaduan mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38 tahun, sebagai calon yang dilihat berpotensi merampas kembali kerusi DUN Nenggiri, Perikatan Nasional (PN) agak gentar dengan kredibiliti pencabar, lalu cuba mempertaruhkan calon terbaik.
Namun, agak janggal apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sekali lagi diberi peluang oleh rakan komponen dalam PN, Parti Islam SeMalaysia (PAS), untuk bertanding di kerusi itu memilih bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Encik Mohd Rizwadi Ismail, 41 tahun, sebagai calon.
Ketandusan calon, selain bimbang berlaku boikot dalam kalangan jentera berikutan keputusan pucuk pimpinan mengekalkan kerusi DUN Nenggiri untuk Bersatu dipercayai antara sebab pemilihan Encik Mohd Rizwadi, walaupun awalnya dua nama lain disebut-sebut sebagai bakal calon.
‘Rekod’ bekas penyandang kerusi DUN Nenggiri, yang juga bekas ahli Bersatu sebelum ini, membelakangi prinsip parti apabila mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat memberi tamparan kepada parti itu dalam meraih sokongan pengundi.
Justeru, jalan paling selamat untuk Bersatu membuktikan kemampuan mengekalkan kerusi DUN Nenggiri dan cuba mengetepikan pencabar, Encik Mohd Azmawi Fikri, yang dilihat oleh Umno mempunyai ciri ‘Wali’ – winnable (boleh menang); acceptable (diterima) dan likeable (disenangi) – adalah dengan mengetengahkan calon dengan latar belakang PAS.
‘Kepincangan’ dalam pemilihan calon PN dilihat Umno-BN sebagai petanda baik untuk Kerajaan Perpaduan merampas kembali DUN Nenggiri yang pernah menjadi kerusi tradisi Umno-BN selama beberapa penggal.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melahirkan keyakinan calon Kerajaan Perpaduan akan memenangi PRK DUN Nenggiri, mentelah pembangkang dilihat ketandusan isu untuk dijadikan senjata sepanjang tempoh kempen.
“Saya yakin penduduk DUN Nenggiri matang dan rasional terutama masyarakat Orang Asli berhubung isu semasa.
“Saya meminta jentera parti memperhebatkan penerangan berhubung isu yang dibangkitkan kepada pengundi di DUN Nenggiri,” katanya.
PRK DUN Nenggiri diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi itu mulai 19 Jun.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu, yang melucutkan keahlian bekas Adun Nenggiri, Encik Mohd Azizi Abu Naim.
Encik Mohd Azmawi Fikri merupakan ahli perniagaan berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM), manakala Encik Mohd Rizwadi adalah bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg