Topik diikuti
Pergi ke BHkuGendang perang PRN Negeri Sembilan bermula, saingan sengit 103 calon rebut 36 kerusi DUN
Gendang perang PRN Negeri Sembilan bermula, saingan sengit 103 calon rebut 36 kerusi DUN
Blok Pakatan Harapan (PH) pimpinan PM Anwar kemuka calon di semua 36 kerusi dipertandingkan
Gendang perang PRN Negeri Sembilan bermula, saingan sengit 103 calon rebut 36 kerusi DUN
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 secara rasmi bermula sebaik selesai proses penamaan calon pada 18 Julai, dengan 103 calon daripada tujuh parti politik serta empat calon Bebas bakal merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Blok Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meletakkan calon di semua 36 kerusi dipertandingkan, untuk mencabar 25 calon rakan sekutunya di peringkat Persekutuan dan Negeri Sembilan sebelum ini – Barisan Nasional (BN).
Perikatan Nasional (PN) yang kini membentuk persefahaman baru dengan BN mempertaruhkan 11 calon.
PRN Negeri Sembilan juga menyaksikan penyertaan sulung anggota baru PN, Parti Wawasan Negara (Wawasan), yang dipimpin mantan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin – dalam pilihan raya dengan mempertaruhkan empat calon.
Sementara Bersatu yang bakal meninggalkan PN dan membentuk gabungan baru menyusuli ketidaktentuan kedudukannya dalam blok pembangkang itu, meletakkan calon di 24 kerusi.
Turut bertanding Parti Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing meletakkan seorang calon.
Calon tertua pula adalah daripada PH bagi kerusi DUN Gemencheh, Datuk Abd Latiff A Tambi, 70 tahun, manakala calon termuda ialah daripada Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Encik Leevineshwaraan Murugan, yang berusia 23 tahun.
Jika pada PRN 2023, PH dan BN menjadi sekutu, kali ini BN dan PN pula dilihat saling menyokong calon dan kempen masing-masing.
Penganalisis politik melihat PRN Negeri Sembilan kali ini paling sengit, bukan sahaja kerana pertembungan antara PH dan BN yang pernah menjadi rakan sekutu dalam PRN 2023 dan membentuk kerajaan negeri bersama.
Malah, PRN kali ini turut menyaksikan pergolakan dalaman PN apabila Bersatu memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri, sekali gus mencetuskan pertembungan sesama parti pembangkang di beberapa kerusi.
Wawasan dan Bersatu pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan bertembung di DUN Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas, yang dijangka menjadi medan menguji parti mana lebih mendapat sokongan pengundi pembangkang.
Tanpa menafikan cabaran PH untuk mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, penganalisis politik, Dr Mazlan Che Soh, berpandangan penyertaan Bersatu secara berasingan dalam PRN itu berpotensi memecahkan undi yang sepatutnya memihak kepada blok BN-PN di beberapa kerusi, sekali gus memberi kelebihan kepada PH.
“Walaupun BN memasuki PRN Negeri Sembilan dengan persefahaman bersama PN yang membabitkan PAS (Parti Islam SeMalaysia), Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia), Wawasan (Parti Wawasan Negara) dan MIPP (Parti Rakyat India Malaysia), peluang PH untuk mempertahankan kerajaan negeri sengit, namun masih terbuka,” katanya.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara itu, strategi PH yang terus meraih sokongan pengundi bukan Melayu, selain penguasaan di kawasan bandar dan separa bandar, dijangka memberi kelebihan kepada gabungan itu.
“Cuma persoalannya, sama ada mana-mana gabungan mampu memperoleh angka 19 kerusi bagi memperoleh majoriti mudah dan membentuk kerajaan negeri.
“PH mempunyai kekuatan di kawasan bandar, manakala BN pula kuat di kawasan luar bandar terutama di Felda, jadi persaingan kali ini dijangka seimbang dan berisiko untuk menyaksikan tiada parti memperolehi kemenangan majoriti,” katanya.
Antara kerusi tumpuan pada PRN ini ialah Linggi, di mana Menteri Besar sementara merangkap ‘panglima perang’ PH di Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengambil risiko berhijrah ke DUN itu, meninggalkan kerusi Sikamat yang dipegang selama empat penggal berturut-turut sejak 2008.
Walaupun DUN Linggi merupakan kubu tradisi BN, ia terletak dalam Parlimen Port Dickson yang diwakili Datuk Aminuddin sebagai Ahli Parlimen (AP) sejak 2022.
Turut menarik tumpuan ialah kerusi ditandingi dua AP yang juga menteri Kerajaan Persekutuan, iaitu Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, dari PH untuk mempertahankan DUN Chennah dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk mengekalkan penguasaan di DUN Rantau.
Penganalisis politik yang juga Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, berkata sukar untuk dijustifikasikan pemindahan Datuk Aminuddin dari Sikamat ke Linggi dengan hanya bersandarkan kekuatan sebagai AP.
Namun beliau tidak menafikan peluang PH untuk mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, mengambil kira kekuatan kerusi didominasi DAP yang meletakkan 11 calon mewakili PH.
PRN ini juga menyaksikan dua kerusi akan berdepan pertandingan lima penjuru dalam tempoh 52 tahun iaitu di DUN Nilai dan Sri Tanjung.
Selain itu, dua kerusi iaitu DUN Jeram Padang dan Rahang menyaksikan pertandingan empat penjuru, sementara 21 kerusi lagi berdepan pertandingan tiga penjuru.
Daripada 36 kerusi, PH mempertaruhkan 24 calon muka baru, sementara BN meletakkan 13 muka baru.
Seramai 889,490 pengundi berdaftar merangkumi 64.6 peratus Bumiputera, 20.9 peratus Cina dan 14 peratus India layak mengundi pada 1 Ogos ini. Pengundian awal pula ditetapkan pada 28 Julai.
PRN Negeri Sembilan ke-16 diadakan lebih awal daripada tempoh penggal DUN tamat pada September 2028, menyusuli krisis institusi Adat dan Raja di negeri itu, yang kemudian membawa kepada kemelut politik selepas blok BN/Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin.
Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi sementara BN 14 kerusi, dan PN lima kerusi.
