Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri Besar Negeri Sembilan hadapi pertandingan 3 penjuru, akui laluan sukar untuk menang
Menteri Besar Negeri Sembilan hadapi pertandingan 3 penjuru, akui laluan sukar untuk menang
Menteri Besar Negeri Sembilan hadapi pertandingan 3 penjuru, akui laluan sukar untuk menang
Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengakui bakal berdepan laluan sukar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.
Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu menafikan dakwaan perpindahannya dari DUN Sikamat yang dipegangnya selamat empat penggal berturut-turut sejak pilihan raya 2018, ke kubu kuat BN di Linggi, mempunyai kaitan dengan krisis institusi Raja dan Adat di negeri itu.
Beliau sebaliknya menegaskan keputusan berkenaan dibuat bagi membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi baharu, sekali gus dapat menubuhkan kerajaan yang stabil dan tidak boleh digugat mana-mana pihak.
“Saya tahu apabila menawarkan diri di Linggi ini, saya bukan hanya bertanding dengan calon, tetapi juga dengan jentera (pihak lawan).
“Ini bukan mudah kerana saya meninggalkan satu kawasan yang agak selesa. Pengundi di Sikamat mengenali saya, tetapi kali ini saya bertanding di Linggi yang kita sedia maklum adalah kubu kuat BN.
“Namun inilah harapan kita untuk PH memenangi DUN Linggi,” katanya yang meramalkan peluang menang 50-50, selepas menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN Linggi pada proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah di Port Dickson, Negeri Sembilan, pada 18 Julai.
Datuk Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, akan mencabar penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Mohd Faizal Ramli, dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said, yang turut bertanding buat kali kedua.
Pada PRN 2023, Datuk Mohd Faizal memenangi kerusi DUN Linggi dengan majoriti 1,461 undi ketika PH dan BN bertanding sebagai sekutu, menewaskan Datuk Zamri yang ketika itu mewakili Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut dakwaan perpindahannya ke Linggi mempunyai kaitan dengan krisis Raja dan Adat di negeri itu, selain dakwaan beliau ‘lari’ daripada bertanding di DUN Sikamat yang berada di bawah Luak (daerah) Sungai Ujong, Datuk Aminuddin menolak tanggapan itu sambil menyifatkan ia satu tuduhan jahat dan dangkal.
Katanya kawasan Parlimen Port Dickson termasuk Linggi juga berada dalam lingkungan Luak Sungai Ujong, justeru dakwaan berkenaan tidak berasas.
“Itu bukan isunya. Jangan kaitkan soal Adat dan Raja dengan pilihan raya. Cuba kita elakkan perkara itu,” katanya.
Beliau menjelaskan keputusan meninggalkan DUN Sikamat kerana PH memerlukan kerusi baharu untuk dimenangi untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang stabil.
“Saya juga mahu memberi khidmat kepada masyarakat di DUN Linggi. Sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, saya yakin dapat mengukuhkan lagi usaha memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat di kawasan ini terus terpelihara,” katanya.
Sebelum ini, Datuk Aminuddin berdepan pertikaian dengan empat Undang termasuk mantan Undang Sungai Ujong berhubung isu pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sehingga mereka mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Kerusi DUN Linggi terletak di bawah Parlimen Port Dickson yang diwakili Datuk Aminuddin sejak 2022.
Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, PH akan memberi tumpuan kepada rekod pentadbiran kerajaan negeri termasuk pembangunan, modal insan serta usaha mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk.
Katanya sasaran PH pada PRN kali ini adalah memenangi lebih daripada 18 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.
Sementara itu, calon BN, Datuk Mohd Faizal menyifatkan usahanya mempertahankan kerusi DUN Linggi berdepan cabaran hebat kerana ditentang Datuk Aminuddin.
“Saya telah diberi amanah atau mandat untuk wakili BN di Linggi dan ini adalah satu cabaran yang begitu hebat bagi saya kerana calon yang menentang juga hebat...merupakan seorang Menteri Besar dan Ahli Parlimen Port Dickson,” katanya.
