Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersatu tanding PRN N. Sembilan guna logo sendiri
Bersatu tanding PRN N. Sembilan guna logo sendiri
Keputusan dibuat selepas PAS adakan kerjasama dengan BN
Bersatu tanding PRN N. Sembilan guna logo sendiri
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, berikutan ketidaktentuan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu menurut Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dibuat selepas komponen PN, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengambil pendirian mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) untuk mendepani PRN Negeri Sembilan.
Tan Sri Muhyiddin berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan pendekatan bergerak solo selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang dijadual berlangsung pada 12 Julai lalu ditangguhkan berikutan pendirian PAS untuk bekerjasama dengan BN.
Dalam satu kenyataan, Tan Sri Muhyiddin berkata keputusan PAS mengadakan rundingan dengan BN dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota PN, serta tanpa mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.
“Bersatu melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan unilateral PAS yang bertentangan dengan kepentingan PN.
“Kenyataan pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui Majlis Tertinggi PN.
“Ia bercanggah dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH),” kata mantan Perdana Menteri itu.
Sehubungan itu, Bersatu berkata semua calon parti berkenaan akan bertanding menggunakan simbol Bersatu selepas rundingan pembahagian kerusi PN ditangguhkan tanpa sebarang tarikh baharu.
MPT Bersatu turut memberi mandat kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membenarkan calon daripada parti lain menggunakan simbol Bersatu pada PRN Negeri Sembilan.
Pada masa sama, Bersatu turut menyelar kepimpinan PN kerana gagal memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi menentukan dasar dan hala tuju gabungan itu ketika berdepan PRN Negeri Sembilan.
Malah, parti itu mendakwa PN yang dipimpin PAS kini telah menyimpang daripada matlamat asal gabungan berkenaan, selain mempersoalkan beberapa kenyataan pemimpin PAS yang disifatkan menimbulkan keraguan terhadap komitmen PN mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Sementara itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dalam satu kenyataan pada 16 Julai, menegaskan segala rundingan dan libat urus dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dibuat dengan pengetahuan serta kebenarannya sebelum dimuktamadkan dan diluluskan Majlis Tertinggi PN.
Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap dakwaan Tan Sri Muhyiddin, yang mendakwa PAS mengadakan rundingan dengan BN tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN.
“Segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi PN, dan ia telah dimuktamadkan serta diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat hari ini (16 Julai),” katanya.
PAS pada 8 Jun lalu menamatkan kerjasama dengan Bersatu, berikutan ketidakpuasan hati PAS terhadap tindakan Bersatu yang didakwa melanggar semangat setia kawan.
Serentak itu, PAS menjalin kerjasama dengan pakatan baru, termasuk Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pertikaian mengenai penguasaan dalam PN turut menambah ketegangan antara Bersatu dan PAS, dengan Bersatu pada PRN Johor yang lalu diberi kebenaran bertanding menggunakan logo PN pada saat akhir.
“
“Bersatu melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan unilateral PAS (Parti Islam SeMalaysia) yang bertentangan dengan kepentingan PN (Perikatan Nasional). Kenyataan pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN (Barisan Nasional) dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui Majlis Tertinggi PN.