Topik diikuti
Pergi ke BHkuLangkah realistik BN-PN cabar kekuatan PH di Negeri Sembilan
Langkah realistik BN-PN cabar kekuatan PH di Negeri Sembilan
Pengamat: Kekuatan PH tidak boleh dipandang ringan; kemelut institusi Raja dan Adat antara faktor pengaruh corak undi
Langkah realistik BN-PN cabar kekuatan PH di Negeri Sembilan
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia mahupun pelancong, Negeri Sembilan sering dikaitkan dengan hidangan masak lemak cili api, keunikan adat dan budaya serta suasana kampung yang masih mengekalkan warisan masyarakat Minangkabau.
Namun sejak April lalu, negeri yang terkenal dengan pantai Port Dickson itu menjadi perhatian atas sebab yang jauh berbeza.
Krisis institusi Raja, Adat dan Perlembagaan yang berlarutan di satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih itu, menyaksikan pertikaian kuasa dan takhta antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan empat Undang.
Kemelut itu kemudian mencetuskan pergolakan politik selepas blok Umno/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ia akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), yang sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.
Pembubaran DUN pada 5 Jun lalu juga lebih awal daripada tempoh penggal yang sepatutnya berakhir pada September 2028.
Dalam kerancakan blok politik memperkenalkan calon taruhan dan pertarungan politik yang bakal bermula selepas penamaan calon pada 18 Julai, PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan penjajaran politik baru.
Ketika PH dan BN yang sebelum ini bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan memilih haluan berbeza dan bergerak solo dalam PRN ini menyusuli krisis Raja dan Adat itu, BN menarik perhatian apabila menjalinkan persefahaman pilihan raya dengan blok pembangkang, Perikatan Nasional (PN).
Perkembangan itu menyaksikan dua gabungan yang pernah bersama dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) pada 2019 sebelum berpisah setahun kemudian, kini kembali menjalinkan kerjasama.
Menerusi persefahaman itu, BN hanya bertanding di 25 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala baki 11 kerusi diperuntukkan kepada PN, sekali gus mengelakkan pertembungan antara kedua-dua gabungan itu pada PRN kali ini.
Persefahaman berkenaan sekali gus mengesahkan rundingan antara PAS dengan BN yang sebelum ini diperkatakan, selain mencetus ketidaktentuan dalam PN apabila satu lagi parti komponennya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), memutuskan untuk bertanding menggunakan logo sendiri selepas tidak terbabit dalam kerjasama itu.
BN PERLU SOKONGAN
Penganalisis politik, Profesor Dr Azmi Hassan, berpandangan keputusan BN menjalinkan persefahaman dengan PN mencerminkan realiti bahawa gabungan itu memerlukan sokongan tambahan bagi berdepan kekuatan PH di Negeri Sembilan.
Menurut beliau keadaan itu berbeza dengan PRN Johor yang menyaksikan BN meraih kemenangan besar menerusi formula bertanding secara solo.
Pakar geostrategis dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara itu berkata landskap politik Negeri Sembilan jauh berbeza daripada Johor kerana PH masih mempunyai pengaruh yang sukar dipandang ringan berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini.
“Di Johor, pengundi mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat tanpa kerjasama dengan parti-parti lain, iaitu BN bertanding secara bersendirian.
“Tetapi di Negeri Sembilan, BN dilihat mengambil pendekatan berbeza apabila memilih bekerjasama dengan PN tanpa Bersatu. Sama ada formula ini diterima pengundi, itulah antara isu utama yang akan menjadi perhatian,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Beliau berkata berbanding Johor yang dianggap kubu kuat Umno, kekuatan PH di Negeri Sembilan menyebabkan BN tidak mempunyai banyak pilihan, selain menjalinkan persefahaman dengan PN bagi meningkatkan peluang membentuk kerajaan negeri.
“Bersandarkan keputusan pilihan raya sebelum ini, kekuatan PH di Negeri Sembilan tidak boleh dipandang ringan. Sebab itu kerjasama dengan PN amat diperlukan oleh BN,” katanya.
Untuk rekod, Negeri Sembilan ditadbir oleh Umno/BN selama 59 tahun sejak 1959, sebelum PH mengambil alih sejak kejatuhan Umno daripada tampuk pemerintahan Persekutuan pada pilihan raya 2018.
Profesor Dr Azmi turut melihat kerjasama PAS dan Umno di Negeri Sembilan sebagai kemunculan semula semangat Muafakat Nasional (MN), namun dalam bentuk yang lebih luas membabitkan BN dan PN.
Katanya, jika di Johor kerjasama kedua-dua pihak tidak begitu ketara dan PAS sekadar menyeru penyokongnya mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi, situasi di Negeri Sembilan jauh berbeza apabila 11 kerusi diperuntukkan kepada PN untuk diagihkan dalam kalangan parti komponennya.
“Apabila 11 kerusi diberikan kepada PN untuk dibahagikan sesama parti komponennya, saya melihat ini sebagai MN 2.0,” katanya.
PN CUBA FORMULA BARU
Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub, melihat kerjasama BN-PN pada PRN Negeri Sembilan sebagai medan percubaan yang bakal menentukan sama ada formula politik baharu itu akan diperluaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), itu berkata, dalam jangka pendek persefahaman berkenaan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila BN berpeluang mengelakkan perpecahan undi Melayu, manakala PAS memperoleh laluan lebih realistik untuk kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.
Menurut beliau bagi PAS, kerjasama itu merupakan langkah pragmatik dan strategik selepas PN gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Johor.
“PAS memerlukan model kerjasama baharu yang mampu menghasilkan kemenangan. Negeri Sembilan kini menjadi medan percubaan untuk melihat sama ada kerjasama dengan BN boleh diperluaskan ke PRU16.
“Malah, Pengerusi PN sendiri telah menyatakan bahawa kerjasama itu boleh diteruskan ke PRU sekiranya berjaya,” katanya kepada BH.
Bagaimanapun, Dr Mohammad Tawfik mengingatkan bahawa kejayaan formula berkenaan tidak boleh dianggap terjamin kerana pemindahan undi antara penyokong PAS dan Umno tidak berlaku secara automatik.
Katanya kerjasama itu juga berisiko menyebabkan BN kehilangan sebahagian sokongan pengundi bukan Melayu dan pengundi sederhana, terutama jika kempen terlalu menonjolkan naratif kerajaan Melayu/Islam.
“Kerjasama ini mempunyai kelebihan, namun ia turut membawa risiko kepada BN sekiranya gagal mengekalkan sokongan pengundi pelbagai kaum.
“Selain itu, kedudukan Bersatu yang tidak termasuk dalam pembahagian 25 kerusi kepada BN dan 11 kerusi kepada PN menunjukkan jajaran politik ini masih belum benar-benar stabil atau menyeluruh,” katanya.
Menyorot kesan tindakan BN bekerjasama dengan PN di Negeri Sembilan, Dr Mohammad Tawfik berkata ia berpotensi menghakis keyakinan serta kepercayaan antara dua gabungan itu, sekali gus memberi kesan terhadap dinamika Kerajaan Perpaduan PH-BN di peringkat Persekutuan.
Menurut beliau sekiranya kerjasama BN-PN berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, ia akan membuktikan wujudnya jajaran politik alternatif yang semakin kukuh tanpa penyertaan PH.
Menurut beliau perkembangan itu berpotensi menguatkan kelompok dalam Umno yang mahu parti berkenaan menjauhkan diri daripada PH menjelang PRU16.
“Keputusan itu akan menguatkan kelompok dalam Umno yang mahu parti bertanding secara berasingan pada PRU16 atau membentuk kerjasama yang lebih luas dengan PAS dan PN.
“Malah, keadaan itu juga akan meningkatkan kuasa tawar-menawar BN dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.
RISIKO PH DI KUBU BN
PRN Negeri Sembilan juga menyaksikan Datuk Aminuddin mengambil risiko untuk bertanding di kerusi baru, berhijrah dari DUN Sikamat – kerusi selamatnya sejak 2008 – ke DUN Linggi, kerusi kubu kuat BN.
Namun, Pengerusi PH Negeri Sembilan dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu yakin beliau mengambil keputusan tepat, dengan ikrar memberi kemenangan kepada PH dan menambah bilangan kerusi dimenangi gabungan itu pada PRN kali ini, berbanding 17 pada PRN 2023.
Dalam menyulami citra politik di Negeri Sembilan, isu-isu yang paling dekat dengan pengundi seperti kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah, peluang pekerjaan dan kadar upah masih menuntut perhatian.
Dr Mohammad Tawfik berkata Negeri Sembilan semakin menjadi negeri penempatan bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, tetapi peningkatan kos di Seremban, Nilai dan kawasan pembangunan baharu tidak semestinya mempengaruhi peningkatan pendapatan setempat.
“Kesesakan lalu lintas, kemudahan pengangkutan, pembangunan infrastruktur dan kemampuan projek seperti Malaysia Vision Valley 2.0 untuk menghasilkan pekerjaan berkualiti juga tumpuan,” katanya.
Bagi Profesor Dr Azmi pula, selain kerjasama BN-PN, kemelut institusi Raja dan Adat yang melanda Negeri Sembilan turut dijangka menjadi antara faktor yang mempengaruhi corak pengundian.
Menurut beliau pertikaian membabitkan institusi monarki negeri itu menjadi antara faktor yang membawa kepada penarikan sokongan 14 Adun Umno dan BN terhadap kerajaan PH, sekali gus mencetuskan krisis politik yang membawa kepada PRN.
Katanya walaupun kedua-dua pihak menyatakan sokongan kepada institusi monarki, perbezaan pendirian terhadap isu berkenaan telah menjadikannya antara topik paling hangat diperdebatkan menjelang PRN Negeri Sembilan.
