Penglibatan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai perasmi Konvensyen Reset, pada 13 Jun, dilihat sebagai isyarat politik paling jelas mengenai hala tuju parti tersebut.

Kehadiran beliau mengukuhkan lagi hubungan PAS dengan gerakan yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin itu, susulan keputusan parti itu untuk menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu pada 8 Jun lalu.

Dalam poster konvensyen itu yang dimuat naik di Facebook rasmi Reset, Tan Sri Abdul Hadi dijadual menyampaikan ucapan perasmian konvensyen berkenaan yang akan berlangsung di negeri kubu kuat PAS – Kelantan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, akan turut menghadiri konvensyen itu dan mengiringi Tan Sri Abdul Hadi.

Poster Konvensyen Reset kemudian turut dikongsikan secara meluas oleh Ahli Parlimen (AP) Bersatu yang telah dipecat dan digantung keahlian, selain pimpinan PAS termasuk Ketua Penerangan PAS Pusat, Encik Ahmad Fadhli Shaari.

Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Encik S P Punithan, di Facebook mengucapkan tahniah kepada Datuk Hamzah atas penganjuran sulung konvensyen Reset dan berharap semua pemimpin, ahli dan penyokong gerakan itu akan terus berdiri teguh di belakang perjuangan serta aspirasi PN.

“Reset merupakan satu platform penting untuk perbincangan konstruktif mengenai pembaharuan negara, tadbir urus, daya tahan ekonomi dan hala tuju masa depan Malaysia,” katanya.

Reset adalah gerakan politik diterajui Datuk Hamzah yang melancarkannya sehari selepas beliau dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu pada 13 Februari.

Datuk Hamzah, yang juga mantan Ketua Pembangkang, dijangka mengumumkan penyertaannya ke dalam sebuah parti politik pada konvensyen itu.

Sebelum ini, PAS menyenaraikan keengganan Bersatu menerima kemasukan parti politik baru ke dalam PN, termasuk gerakan yang dipimpin Datuk Hamzah, sebagai salah satu punca parti itu menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu yang dibentuk sejak 2020.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut mendedahkan antara syarat PAS kepada Bersatu dalam surat pada 6 Jun ialah untuk mencari jalan berbaik semula dengan ahli-ahli parti itu yang dipecat termasuk dengan kumpulan Reset, demi PN.

Selain itu, mantan Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata PAS juga mengemukakan dua syarat lain sebagai talian hayat terakhir untuk mengekalkan kerjasama politik mereka dalam gabungan PN, iaitu menuntut Bersatu membersihkan persepsi negatif terhadap parti itu dan mesti menerima penyertaan parti-parti lain ke dalam PN.