JOHOR BAHRU: Gerakan Reset Johor sedia menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun.

Penyelarasnya, Encik Zulkifli Bujang, menyifatkan PRN ini sebagai medan penting untuk memperkasa agenda pembaharuan serta menawarkan alternatif segar buat rakyat.

Beliau berkata Gerakan Reset Johor bersedia menggalas cabaran demokrasi bersama parti lain demi memperjuangkan masa depan Johor yang lebih sejahtera, adil dan maju.

“Pembubaran DUN Johor membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri yang baru.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada semua pihak yang ingin membawa aspirasi rakyat untuk mendapatkan mandat menerusi proses demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Jun, lapor Berita Harian Malaysia.

Gerakan Reset kini tampil sebagai wadah politik baru, diterajui bekas Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat pada 13 Februari lalu.

Sehari kemudian, Datuk Hamzah melancarkan Gerakan Reset Politik, yang turut dihadiri 19 Ahli Parlimen daripada Bersatu.

Walaupun terdapat laporan mengenai rancangan beliau mengetuai parti baru, tiada perkembangan lanjut dilaporkan sehingga kini.

Bagi Encik Zulkifli, PRN Johor bukanlah sekadar gelanggang persaingan politik, malah sebuah platform penting bagi rakyat menilai prestasi kerajaan negeri sepanjang hampir empat tahun ini.

Beliau menekankan bahawa rakyat berhak menilai dasar-dasar kerajaan, terutamanya berkaitan ekonomi, kos sara hidup, pembangunan, dan kebajikan, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

Jika diberi peluang dalam PRN kali ini, Gerakan Reset Johor komited membawa pendekatan yang berpaksikan integriti, tadbir urus yang baik, dan penyelesaian tuntas bagi setiap isu rakyat.

“Kuasa menentukan masa depan Johor kini berada di tangan rakyat dan kami bersedia untuk menawarkan idea serta pendekatan baharu demi masa depan negeri ini,” katanya.