Muhyiddin: Pemecatan ahli dikendali lembaga disiplin parti
Muhyiddin: Pemecatan ahli dikendali lembaga disiplin parti
Presiden Bersatu jelaskan keputusan bukan di bawah bidang kuasanya
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan memecat atau mengambil tindakan disiplin terhadap ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan berada di bawah bidang kuasanya sebagai Presiden parti, sebaliknya dikendalikan lembaga disiplin parti.
Mantan Perdana Menteri itu berkata tindakan termasuk penggantungan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, melalui proses yang ditetapkan selepas lembaga disiplin meneliti kes dan mendengar pembelaan daripada pihak terbabit.
“Apa juga tindakan yang diambil adalah kerana terdapat pelanggaran, sama ada terhadap peraturan atau perlembagaan parti.
“Proses itu dikendalikan lembaga disiplin parti berdasarkan laporan lengkap.
“Individu yang terbabit juga diberi ruang membela diri sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, pada 10 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Muhyiddin mengulas kenyataan Datuk Ronald yang mempertikaikan penggantungan dua penggal itu, malah mendakwa ahli yang kekal Bersatu hanyalah ‘pak turut’ kepada Presiden parti.
Dalam perkembangan lain, Tan Sri Muhyiddin menegaskan tiada mana-mana bahagian parti itu yang terbubar susulan peletakan jawatan ahli jawatankuasa (AJK), yang dikaitkan dengan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden parti sebelum ini.
Beliau berkata bagi bahagian terjejas kerana peletakan jawatan pemimpin, jawatankuasa petugas khas atau jawatankuasa penaja baru akan dibentuk bagi menyusun semula struktur organisasi.
“MPT juga mengambil maklum tidak ada bahagian yang berjaya dibubarkan.
“Ini hendak kita jelaskan kerana dalam beberapa minggu yang lepas, selepas peristiwa pemecatan Timbalan Presiden, kononnya ada beberapa bahagian dan pimpinan bahagian mengisytiharkan pembubaran.
“Tiada yang lumpuh sepenuhnya. Apabila (Ketua Bahagian) kata bubar, sebenarnya beliau tidak ada kuasa untuk membubarkan.
“Jadi, ia tidak terbubar. Yang berlaku ialah orang yang buat pengumuman itu letak jawatan ataupun meninggalkan Bersatu.
“Atas sebab itu berlakulah sedikit kelompangan jawatan yang perlu diisi. Kita ambil tindakan untuk mencari pengganti atau kalau kesannya agak lebih besar sedikit, kita tubuhkan jawatankuasa penaja,” katanya.
Sebelum ini terdapat beberapa laporan mendakwa puluhan bahagian Bersatu di serata Malaysia bubar menyusuli peletakan jawatan Ketua Bahagian dan AJK yang mendakwa wujud krisis kepimpinan dalam parti itu, sehingga Datuk Hamzah dipecat keahliannya pada 13 Februari lalu.
“
“Apa juga tindakan yang diambil adalah kerana terdapat pelanggaran, sama ada terhadap peraturan atau perlembagaan parti. Proses itu dikendalikan lembaga disiplin parti berdasarkan laporan lengkap. Individu yang terbabit juga diberi ruang membela diri sebelum sebarang keputusan dibuat.”
