Hamzah: Pertemuan dengan Anwar bukan khianat
LARUT (Perak): Mantan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, menafikan tuduhan yang melabel beliau pengkhianat menyusuli pertemuan bersama beberapa pemimpin politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang dipecat keahlian oleh Bersatu pada 13 Februari lalu menegaskan, pertemuan dengan mana-mana pemimpin termasuk tokoh kerajaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk melabelkan seseorang sebagai pengkhianat.
“Kalau saya jumpa Perdana Menteri (PM), apakah saya jadi pengkhianat ?Jumpa PM bukan satu kesalahan.
“Saya hanya mahu meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara serta memastikan perpaduan orang Melayu terus diperkukuhkan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid di Parlimen Larut, pada 5 Mac, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan tidak bersetuju sekiranya parti baru yang dikaitkan dengan Datuk Hamzah menyertai gabungan pembangkang, Perikanan Nasional (PN), yang pernah dipengerusikannya.
Tan Sri Muhyiddin turut membangkitkan mengenai pertemuan Datuk Hamzah dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno yang dikaitkan dengan ‘Bangkok Move’ sebagai antara punca Ahli Parlimen (AP) Larut (Perak) itu dipecat daripada parti.
Dalam pada itu, Datuk Hamzah berkata beliau sendiri tidak mengetahui sebab sebenar perkara itu dan mempersoalkan mengapa pertemuan dengan pemimpin politik dijadikan isu.
“Kenapa tidak boleh terima, saya pun tidak tahu. Ada yang kata saya pengkhianat sebab jumpa pemimpin tertentu. Bagi saya, yang penting keikhlasan kita untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sementara itu, AP Tasek Gelugor (Pulau Pinang) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan, membidas sikap Tan Sri Muhyiddin yang didakwanya menjadi penghalang utama kepada usaha permuafakatan parti-parti besar Melayu di negara ini.
Beliau baru-baru ini berkata tindakan Tan Sri Muhyiddin yang berang apabila terdapat pemimpin bertemu dengan parti lain menunjukkan mantan perdana menteri itu seolah-olah sengaja menolak usaha penyatuan tersebut.
Malah, beliau mendakwa Tan Sri Muhyiddin kini mempunyai ‘obsesi’ terhadap jawatan sehingga sanggup membiarkan hubungan baik dengan rakan komponen dalam PN, iaitu Parti Islam SeMalaysia (PAS), menjadi rosak.
“Nampaknya hari ini obsesi Muhyiddin ialah jawatan. Dia marah apabila ada orang tuduh Datuk Hamzah nak diletak sebagai timbalan perdana menteri. Kalau betul dia ada maklumat, buktikanlah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

