Langkah Malaysia menghantar pulang tahanan warga Myanmar secara berperingkat boleh dilihat sebagai titik mula kepada usaha lebih menyeluruh dan tersusun untuk mengurus isu pelarian dan migrasi asing di negara itu, kata penganalisis.

Ia dilihat sekurang-kurangnya meredakan isu lambakan pelarian dan migrasi asing yang sudah mencetuskan krisis sosial yang serius, serta mewujudkan ancaman keselamatan kepada rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ireena Nasiha Ibnu.
Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ireena Nasiha Ibnu. - Foto ihsan IREENA NASIHA IBNU

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ireena Nasiha Ibnu, berkata penghantaran pulang itu merupakan usaha wajar yang menunjukkan kerajaan mengambil serius kebimbangan masyarakat berhubung kehadiran pelarian dan warga asing.

Bagaimanapun, katanya langkah itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian tunggal kerana Malaysia memerlukan sistem pengurusan migrasi yang lebih jelas, teratur dan pada masa sama mengambil kira prinsip kemanusiaan.

“Sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak mengawal siapa yang masuk dan tinggal di negara ini.

“Namun, penghantaran pulang ini bukanlah satu-satunya penyelesaian. Ia perlu disertai sistem pengurusan migrasi yang jelas, teratur dan tetap mengambil kira prinsip kemanusiaan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Malaysia memulakan penghantaran pulang kumpulan pertama seramai 1,476 tahanan warga Myanmar pada 29 September.

Ia sebahagian daripada program penghantaran pulang berperingkat membabitkan keseluruhan 5,000 individu yang telah dimuktamadkan, berasaskan persetujuan dengan pemerintah Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu yang terlibat untuk pulang secara sukarela.

Mereka dihantar pulang menggunakan tiga kapal melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, dengan bakinya akan dihantar pulang dalam fasa kedua yang sedang dimuktamadkan.

Baki 3,542 tahanan lagi akan dihantar pulang untuk fasa berikutnya.

Langkah itu dibuat ketika isu lambakan pelarian asing di Malaysia terutama dari Myanmar dan etnik Rohingya mencetuskan kebimbangan awam yang memuncak sejak beberapa bulan lalu.

Kelompok itu telah sekian lama membentuk koloni dan menguasai ekonomi di kawasan tertentu serata Malaysia, sekali gus mencetuskan krisis sosial yang serius, serta mewujudkan ancaman keselamatan kepada warga tempatan.

Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat isu itu juga menjadi beban kewangan yang besar kepada negara.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini turut menegaskan isu pelarian Myanmar bukan satu masalah baru di Malaysia.

Sebaliknya, legasi puluhan tahun yang telah memberikan tekanan kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan.

Setakat ini, pelarian warga Myanmar merangkumi lebih 95 peratus daripada keseluruhan pelarian yang berada di Malaysia.

Setakat akhir Februari 2026, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di Malaysia, dengan 193,824 daripadanya berasal dari Myanmar.

Daripada jumlah itu, 126,144 adalah etnik Rohingya.

Jumlah pelarian tidak berdaftar juga dipercayai tinggi.

Dr Ireena berkata usaha penghantaran pulang pelarian terbabit juga berpotensi meredakan sebahagian kebimbangan masyarakat kerana dari sudut psikologi sosial, tindakan nyata kerajaan dapat memberi gambaran bahawa isu berkenaan sedang dikawal.

Namun, katanya kebimbangan awam terhadap pelarian, khususnya Rohingya, turut berkait dengan persepsi mengenai persaingan ekonomi dan keselamatan.

“Penghantaran pulang sahaja tidak cukup. Langkah ini perlu disertakan dengan penguatkuasaan undang-undang yang konsisten untuk memastikan keadaan terkawal,” katanya.

Kebimbangan awam terhadap kesan lambakan pelarian Myanmar terutama Rohingya di Malaysia, juga telah menimbulkan pertikaian oleh warga Malaysia terhadap peranan UNHCR di negara itu, sehingga timbul desakan supaya kerajaan menutup pejabat pertubuhan tersebut di Malaysia.

Melihat perkembangan itu, Dr Ireena berkata peranan UNHCR dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu dilihat sebagai rakan kerjasama dan bukannya pihak yang menentang langkah diambil kerajaan sesebuah negara.

Bagaimanapun, katanya kerjasama itu perlu mengambil kira kepentingan dan keutamaan keselamatan Malaysia.

Kenyataan itu dibuat ketika UNHCR menyuarakan kebimbangan terhadap penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar bermula 29 September, dengan agensi itu berkata konflik dan keadaan kemanusiaan di Myanmar masih menimbulkan risiko serius kepada mereka yang dihantar pulang.

UNHCR pada masa sama mengakui tanggungjawab berdaulat Malaysia untuk mengurus isu suaka dan migrasi.

Menurut Dr Ireena, jalan tengah perlu dicapai melalui diplomasi dan kerjasama yang lebih tersusun dengan UNHCR serta NGO antarabangsa, khususnya dalam pengurusan dan perlindungan pelarian sementara mereka berada di Malaysia, penempatan semula ke negara ketiga, serta penghantaran pulang secara sukarela dan selamat.

Beliau turut berpandangan UNHCR dan NGO perlu membantu Malaysia melalui perkongsian data yang telus bagi tujuan keselamatan, program pendidikan kepada masyarakat pelarian mengenai undang-undang dan budaya tempatan serta meningkatkan usaha diplomatik terhadap Myanmar bagi menangani punca krisis.

Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai sistem suaka nasional khusus, menyebabkan UNHCR ketika ini menjalankan proses penentuan status pelarian di bawah mandatnya.

Mengulas kerjasama Malaysia dengan Myanmar dalam mencari penyelesaian lambakan pelarian negara itu di Malaysia, Dr Ireena berkata isu itu perlu dilihat sebagai masalah serantau dan antarabangsa kerana punca utama perpindahan sebahagian besar mereka berpunca daripada keadaan di negara asal.

Malaysia tidak seharusnya menjadi satu-satunya negara yang menanggung beban berkenaan, ujar beliau.

“Kita perlukan kerjasama dengan negara asal, Asean, UNHCR dan negara ketiga. Prinsipnya adalah responsibility sharing (perkongsian tanggungjawab).

“Isu pelarian merupakan isu serantau dan antarabangsa, jadi bebannya juga tidak seharusnya diletakkan kepada Malaysia sahaja,” katanya.

Berhubung kebimbangan mengenai kewujudan kawasan yang didominasi masyarakat Rohingya sehingga mempengaruhi kegiatan ekonomi setempat, Dr Ireena berkata kerajaan perlu meneliti bagaimana keadaan itu boleh terbentuk.

Beliau menyifatkan keadaan berkenaan sebagai kewujudan ‘ekonomi bayangan’ yang menurutnya boleh menjejas ekosistem perniagaan tempatan sekiranya tidak ditangani.

“Kerajaan perlu mengambil sikap sifar toleransi dan melakukan siasatan bagaimana koloni ini boleh terbentuk.

“Adakah terdapat kelompangan atau kelemahan dalam penguatkuasaan kita sendiri? Kita perlu memastikan sistem kita terlebih dahulu agar kedaulatan ekonomi rakyat Malaysia tidak lagi dicabar,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Malaysia perlu melihat isu pelarian semata-mata melalui lensa permainan geopolitik kuasa asing, sebaliknya menegaskan negara perlu memperkukuh kedaulatan undang-undang bagi mengelakkan sebarang bentuk manipulasi.

“Kita tidak boleh membenarkan Malaysia menjadi bidak dalam permainan geopolitik pihak luar. Kunci untuk mengelakkan manipulasi ini adalah dengan mengukuhkan kedaulatan undang-undang kita sendiri.

“Jika kita bertindak dengan tegas, konsisten dan tidak berkompromi dalam soal keselamatan, maka tiada ruang untuk mana-mana pihak luar atau elemen manipulasi mengambil kesempatan terhadap keselamatan negara,” katanya.

Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir, adalah antara tokoh akademik yang lantang menyuarakan kebimbangan mengenai isu lambakan pelarian di Malaysia.
Pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir, adalah antara tokoh akademik yang lantang menyuarakan kebimbangan mengenai isu lambakan pelarian di Malaysia. - Foto fail NSTP

Dalam pada itu pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir, berkata Malaysia perlu lebih tegas dalam menetapkan dasar berhubung pelarian seperti Singapura yang secara jelas tidak menerima individu yang memohon status pelarian atau suaka.

Beliau berkata ketegasan dan kejelasan dasar Singapura menyebabkan negara itu tidak berdepan kemasukan pelarian seperti Malaysia.

“Singapura, foreign policy (dasar luar) dia jelas.

“Malaysia pula tak pernah kata kita tak mahu terima pelarian lagi,” katanya kepada BH ketika mengulas sama ada program penghantaran pulang warga Myanmar itu akan berhasil menangani isu lambakan dan kemasukan pelarian ke Malaysia.

Menurutnya, pendirian Malaysia perlu diperjelas kerana negara itu ketika ini menanggung kesan daripada dasar yang tidak konsisten, iaitu menerima kehadiran pelarian tetapi dalam masa sama berusaha mengurangkan jumlah mereka melalui penghantaran pulang.

“Dalam hal ini, isu yang menyusahkan Malaysia ialah apabila kita tak jelas, kita terima lagi pelarian, tapi dalam masa sama kita nak mereka keluar daripada Malaysia.

“Pada saya, penghantaran pulang perlu diteruskan seperti yang kita rancangkan dan selagi mana Myanmar memberi jaminan dan pelarian ini mahu balik secara sukarela,” katanya.

Singapura mempunyai dasar rasmi untuk tidak menerima penempatan pelarian kerana kedudukannya sebagai sebuah negara pulau yang kecil dengan sumber tanah yang terhad.

Dalam pada itu, Profesor Salawati turut mengkritik tindakan UNHCR yang menurutnya terlalu mencampuri keputusan Malaysia berhubung penghantaran pulang warga Myanmar.

Beliau mempersoalkan mengapa UNHCR mempertikaikan tindakan Malaysia sedangkan negara itu bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951.

“Kenapa UNHCR nak bising? Ada tak pelarian yang kita ikat atau sebagainya? Tak ada. Semua dilayani dengan elok.

“Pada saya, kenapa UNHCR hendak mempertikaikan hak kedaulatan sebuah negara seperti Malaysia?,” katanya.

Profesor Salawati turut mengulangi gesaan supaya kerajaan menutup pejabat UNHCR di Malaysia, yang dilihat tidak memberikan penyelesaian mencukupi terhadap isu pelarian di Malaysia, walaupun memainkan peranan dalam pendaftaran dan dokumentasi mereka.

“Sepatutnya dalam keadaan sekarang di mana Malaysia menghantar pulang tahanan Myanmar ini, UNHCR-lah yang sepatutnya buat pemantauan. Itulah peranan mereka,” katanya.

Profesor Salawati turut membangkitkan isu 121 warga etnik Rohingya yang diminta berpindah dari Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang pada akhir Julai lalu.

Beliau mendakwa UNHCR tidak membuka pintu kepada kumpulan itu ketika mereka datang mendapatkan bantuan, tetapi pada masa sama badan berkenaan boleh mengeluarkan kad UNHCR kepada pelarian.

Mengulas penghantaran pulang kira-kira 5,000 warga Myanmar yang telah dipersetujui kerajaan Malaysia dan Myanmar, Profesor Salawati berkata jumlah itu masih kecil berbanding kira-kira 193,824 pelarian Myanmar yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat ini.

Malah, beliau menegaskan belum ada pelarian warga Myanmar yang dihantar pulang itu terdiri daripada etnik Rohingya.

“Tak ada satu Rohingya pun yang dihantar pulang. Yang dihantar pulang itu etnik Chin, Karen dan sebagainya... dan mereka pulang atas kerelaan mereka.

“Jadi apa masalahnya apabila kita nak hantar balik? Pemerintah Myanmar pun beri jaminan warganya yang dihantar pulang akan selamat. Jadi baliklah,” katanya.

Di Myanmar, berbanding etnik lain, etnik Rohingya dinafikan hak kewarganegaraan di bawah Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982 yang hanya mengiktiraf 135 kumpulan etnik rasmi.

Justeru warga Rohingya yang mewakili majoriti kumpulan pelarian di Malaysia dianggap sebagai tiada kewarganegaraan, kerana pemerintah Myanmar mendakwa mereka sebagai pendatang dari Bangladesh.

Ia menyebabkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan mereka jika dihantar pulang.

Beliau menegaskan proses penghantaran pulang pelarian, malah dalam jumlah yang lebih besar perlu diteruskan sekiranya Myanmar bersedia menerima semula rakyatnya dan mereka sendiri bersetuju untuk pulang.

“

“Sebagai negara berdaulat, Malaysia berhak mengawal siapa yang masuk dan tinggal di negara ini. Namun, penghantaran pulang ini bukanlah satu-satunya penyelesaian. Ia perlu disertai sistem pengurusan migrasi yang jelas, teratur dan tetap mengambil kira prinsip kemanusiaan.”
Dr Ireena Nasiha Ibnu, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“

“Dalam hal ini, isu yang menyusahkan Malaysia ialah apabila kita tak jelas, kita terima lagi pelarian, tapi dalam masa sama kita nak mereka keluar daripada Malaysia. Pada saya, penghantaran pulang perlu diteruskan seperti yang kita rancangkan dan selagi mana Myanmar memberi jaminan dan pelarian ini mahu balik secara sukarela.”
Profesor Dr Salawati Mat Basir,  pakar undang-undang antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).