Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harimau kumbang cuba ‘serang’ kandang kambing pula di N. Sembilan

Apr 14, 2025 | 4:31 PM
Pada 3 April lalu seorang pemandu lori cedera selepas diserang harimau kumbang di tepi jalan dekat Bukit Tangga, Seremban.
Pada 3 April lalu seorang pemandu lori cedera selepas diserang harimau kumbang di tepi jalan dekat Bukit Tangga, Seremban. - Foto tangkap layar tular

JELEBU (Negeri Sembilan): Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menerima aduan mengenai kehadiran binatang liar disyaki harimau kumbang berhampiran dengan Institusi Pemulihan Dadah (IPD) Jelebu di sini, malam 13 April.

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Encik Faizal Izham Pikri, berkata pihaknya menerima aduan berkenaan pada 9 malam.

Menurutnya, terdapat satu kandang kambing di dalam kompleks berkenaan dan didakwa cuba diceroboh oleh haiwan itu.

“Bagaimanapun, haiwan berkenaan gagal masuk ke kandang terbabit. Sebagai langkah keselamatan, kita sudah menasihatkan supaya kandang kambing berkenaan ditutup rapi supaya tiada ruang untuk harimau kumbang menyelinap masuk.

“Kita akan memantau dari semasa ke semasa aduan yang dibuat institusi terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya adakah harimau kumbang berkenaan adalah haiwan yang sama menyerang pemandu lori pada 3 April lalu, Encik Faizal Izham berkata ia masih tidak dapat dipastikan buat masa ini.

Namun katanya harimau kumbang banyak terdapat di negeri itu tetapi bilangan sebenar tidak diketahui.

“Jumlah sebenar harimau kumbang hanya boleh diketahui apabila diadakan inventori berskala besar sahaja,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu lori cedera selepas diserang harimau kumbang di tepi jalan dekat Bukit Tangga, Seremban.

Pemandu lori berkenaan diserang ketika mangsa turun dari lorinya untuk membuang air kecil di lokasi kejadian.

Hasil siasatan Perhilitan mendapati harimau kumbang berkenaan dipercayai keluar dari hutan berhampiran dan menerkam bahagian kepala mangsa.

Haiwan liar itu kemudiannya berlari ke kawasan hutan bertentangan jalan berkenaan.

Mangsa yang cedera terpaksa menerima rawatan di Hospital Seremban.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg