SEREMBAN: Seorang pemandu lori parah di muka selepas dipercayai diserang harimau kumbang di tepi jalan dekat Bukit Tangga, di sini, petang 3 April.
Kejadian kira-kira 3.30 petang itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta sebelum video selama 16 saat itu dimuatnaik di media sosial.
Rakaman berkenaan memaparkan sebuah lori berhenti di tepi jalan dan kelihatan seekor haiwan berwarna hitam baru sahaja menyerang seorang lelaki.
Seolah terkejut dengan kehadiran kenderaan yang merakam kejadian, haiwan dipercayai harimau kumbang itu melarikan diri ke seberang jalan, lapor Berita Harian Malaysia.
Sejurus kemudian, kelihatan lelaki yang dikatakan pemandu lori rebah di tepi jalan, sebelum kereta itu berhenti di bahagian hadapan lori.
Turut dikongsi di media sosial beberapa foto yang menunjukkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian muka dan berlumuran darah.
Difahamkan satu laporan polis sudah dibuat dan pihak berkuasa akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg