Inisiatif penghantaran ubat melalui pos yang diperkenalkan oleh Kerajaan Johor kini diperluaskan ke seluruh negara apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan kos Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) akan ditanggung sepenuhnya mulai Julai 2026.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata langkah itu membuktikan pendekatan yang diterajui Johor sejak 2024 itu adalah tepat, berkesan dan memenuhi keperluan rakyat, khususnya pesakit yang memerlukan rawatan susulan secara berterusan.

Menurutnya, keputusan Kerajaan Persekutuan itu akan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Malaysia selain memudahkan akses kepada perkhidmatan kesihatan tanpa perlu berulang-alik ke hospital atau klinik kerajaan.

“Daripada kira-kira 80,000 penghantaran ubat melalui pos yang direkodkan setiap bulan di seluruh negara, hampir 25,000 penghantaran adalah dari Johor.

“Angka ini menunjukkan penerimaan tinggi terhadap inisiatif tersebut serta keperluannya dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Jun.

Menurut beliau, Johor telah melaksanakan inisiatif berkenaan lebih awal dengan menanggung kos penghantaran ubat bagi membantu warga emas, individu kurang upaya, pesakit yang mempunyai masalah pergerakan serta mereka yang memerlukan rawatan jangka panjang.

Kerajaan negeri, ujar beliau, memperuntukkan sebanyak RM900,000 ($283,678) pada 2024 bagi menjayakan program itu sebelum meningkatkan komitmen menerusi peruntukan RM2.1 juta dalam Belanjawan Johor 2026.

“Kerajaan Johor percaya perkhidmatan kesihatan tidak seharusnya terhad di dalam kemudahan kesihatan semata-mata.

“Sebaliknya, ia perlu dibawa lebih dekat kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih mudah diakses, mesra pengguna dan memenuhi keperluan sebenar masyarakat,” katanya.

Encik Ling berkata pelaksanaan dasar yang sama di peringkat nasional merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha yang telah dimulakan Johor dalam memperkenalkan pembaharuan bagi meningkatkan mutu penyaluran khidmat kesihatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas keberanian dan visi dalam melaksanakan inisiatif berkenaan lebih awal demi manfaat rakyat negeri itu.

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan program itu membuktikan dasar yang dirangka berasaskan keperluan rakyat mampu memberi kesan besar serta dijadikan contoh di peringkat nasional.

Pada masa sama, beliau berkata keputusan Kerajaan Persekutuan menanggung kos penghantaran ubat itu membolehkan kerajaan negeri menyalurkan semula peruntukan yang sebelum ini digunakan untuk tujuan berkenaan kepada program kesihatan lain yang lebih diperlukan.

“Peruntukan tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf kemudahan kesihatan, menambah baik peralatan dan kelengkapan perubatan serta memperluaskan program kesihatan awam di Johor,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kesihatan rakyat akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri menerusi pelbagai usaha pembaharuan dan inovasi dalam sektor kesihatan.

Kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, mudah dan bermutu.