Topik diikuti
Pergi ke BHkuLimpahan pelancong ke Johor dijangka daripada F1 S’pura
Limpahan pelancong ke Johor dijangka daripada F1 S’pura
Sektor penginapan, makanan bakal raih manfaat
Limpahan pelancong ke Johor dijangka daripada F1 S’pura
Perlumbaan Formula Satu (F1) Singapura dijangka akan memberi limpahan ekonomi kepada Johor apabila sebahagian penonton memilih untuk menginap, menjamu selera dan meneruskan percutian mereka di negeri itu selepas acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata kesan positif itu dapat dilihat setiap tahun, khususnya dalam sektor penginapan, makanan dan pakej lawatan selepas perlumbaan.
“F1 Singapura memang memberi limpahan yang besar kepada Johor setiap tahun, terutama dari sudut penginapan, makanan dan perkhidmatan lain.
“Ada juga pelancong yang mengambil peluang menyertai lawatan selepas perlumbaan dengan datang melancong ke Johor,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) pada Karnival Cuti-Cuti Malaysia di Johor Bahru.
Menurut beliau, Tourism Malaysia turut bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura bagi mempromosikan perlumbaan malam berkenaan, termasuk mengetengahkan Johor sebagai destinasi berdekatan yang boleh dikunjungi penonton antarabangsa.
Katanya, hubungan erat antara Malaysia dan Singapura membuka peluang kepada kedua-dua negara untuk saling mendapat manfaat daripada penganjuran acara pelancongan dan sukan bertaraf antarabangsa.
“Singapura ialah jiran mesra kita. Mereka membantu kita dan kita membantu mereka dalam usaha merancakkan sektor pelancongan, terutama sempena Tahun Melawat Johor 2026,” katanya.
Encik Mohd Amirul berkata kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura membolehkan negeri itu menerima pelancong yang mahu menikmati pilihan penginapan, makanan dan kegiatan pelancongan berbeza selepas menghadiri perlumbaan.
Dalam pada itu, katanya, penganjuran F1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini turut dijangka menarik ramai penonton dari Singapura.
Beliau berkata Singapura, Indonesia dan Thailand telah menunjukkan minat untuk menghantar pelancong bagi menyaksikan perlumbaan itu kerana F1 mempunyai kelompok pengikut antarabangsa yang besar.
“Sudah pasti ada limpahan ekonomi, bukan sahaja daripada pelancong asing yang datang dari jauh, malah daripada negara berhampiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Mereka sudah menyatakan minat untuk membawa ramai pelancong ke Malaysia bagi menyaksikan F1,” katanya.
Walaupun anggaran terperinci mengenai nilai limpahan ekonomi belum dimuktamadkan, beliau berkata kesan awal sudah dapat dilihat melalui permintaan tinggi terhadap penginapan di Sepang dan Putrajaya.
Menurutnya, hotel di kedua-dua kawasan itu dilaporkan hampir penuh, menyebabkan tempahan mula melimpah ke Kuala Lumpur.
Tourism Malaysia dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Bahrain Tourism, Kerajaan Bahrain, Gulf Air dan penganjur Bahrain GP bagi memperincikan kerjasama serta manfaat kepada sektor pelancongan Malaysia.
Kerajaan juga merancang menganjurkan Karnival F1 bersempena perlumbaan itu, dengan beberapa program bakal diadakan di Sepang, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Encik Mohd Amirul berkata penganjuran perlumbaan tersebut memberi rangsangan kepada pelancongan sukan Malaysia yang sebelum ini banyak bergantung kepada MotoGP dan kejohanan permotoran peringkat Asia.
“Selama ini, kita banyak bergantung kepada MotoGP. Kini sukan permotoran nombor satu dunia datang ke Malaysia dan sudah tentu ia dapat membantu usaha menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
