Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat di M’sia dijangka memuncak Dis

Jabatan Meteorologi: Keadaan banjir di Kedah, Perlis, Perak, Selangor tambah baik
Oct 29, 2024 | 2:19 PM
Bangunan Menara Berkembar Petronas yang dilitupi kabus tebal berikutan hujan berpanjangan. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan akibat monsun timur laut di Malaysia dijangka memuncak pada Disember.
Bangunan Menara Berkembar Petronas yang dilitupi kabus tebal berikutan hujan berpanjangan. Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan akibat monsun timur laut di Malaysia dijangka memuncak pada Disember. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Hujan akibat monsun timur laut dijangka memuncak pada Disember ini dengan kadar yang jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan ramalan, kadar hujan lebat dijadual meningkat dengan banyak dalam tempoh berkenaan.

“Ini disebabkan oleh fenomena El Nino yang berlaku tahun lalu (2023).

“Dengan monsun timur laut dijangka bermula awal bulan depan (November) dan berterusan sehingga Mac, kami menjangkakan hujan lebat sepanjang tempoh ini,” katanya kepada New Sunday Times (NST).

Beliau berkata berdasarkan ramalan, Terengganu dijangka menerima lebih daripada 1,000 milimeter (mm) hujan pada waktu puncak pada Disember.

“Kami juga menjangkakan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah akan terjejas secara langsung (ekoran) kesan fenomena monsun timur laut.

“Biasanya, sepanjang tempoh ini, hujan lebat berterusan dan boleh berlaku selama beberapa hari, terutama di negeri-negeri pantai timur serta Sabah dan Sarawak.” katanya

Dr Mohd Hisham menambah, keadaan itu mungkin boleh menyebabkan banjir.

Beliau menasihatkan mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir supaya membuat persediaan awal dan sentiasa berwaspada terhadap amaran cuaca buruk.

“Amaran ini boleh dilihat melalui portal jabatan di www.met.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih myCuaca,” katanya.

Beliau berkata kemas kini juga boleh diperoleh melalui media sosial jabatan atau talian hotline di 1-800-22-1638.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad, menasihatkan orang awam yang tinggal di kawasan mudah banjir agar memberi perhatian pada sebarang hebahan dan pengumuman pihak berkuasa.

“Jika arahan pemindahan sudah dikeluarkan, lakukan segera. Jika anda tidak berada di rumah ketika itu, pergi ke kawasan yang lebih tinggi dan elakkan melalui tempat yang mempunyai arus kuat.

“Ketika banjir, orang ramai dinasihatkan tidak meredah air yang naik dengan berjalan kaki atau menaiki bot.

“Elakkan menyentuh wayar atau kabel yang jatuh,” katanya, yang turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka bermain di sungai, longkang atau lombong ketika banjir.

Datuk Nor Hisham menasihatkan pemandu supaya tidak melalui kawasan banjir.

“Berpatah balik jika boleh. Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan itu, tinggalkannya dan pergi ke kawasan yang lebih tinggi.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya mengambil berat mengenai jiran tetangga dan membantu kanak-kanak, warga emas serta golongan kurang upaya,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan, jika rumah sudah dinaiki air, elakkan masuk ke dalam rumah kerana ada bahaya tersembunyi dalam air banjir yang keruh.

Sementara itu, hasil pengeluaran padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) merosot 5 peratus dalam tempoh setahun, susulan musim banjir dan kemarau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, bagaimanapun berkata keadaan itu dijangka kembali pulih bermula 2025.

“Kita mengalami kekurangan 5 peratus berbanding hasil padi yang direkodkan adalah 61 peratus. Proses pemulihan sedang berlaku, musim baru sudah bermula dan keadaan ini dijangka pulih bulan depan (November).

“Dalam keadaan hasil padi Kada dan Mada merosot, kita agak bernasib baik kerana harga import beras menurun selain ringgit kita meningkat menjadikan barang import kita dapat dipasarkan di dalam negara dengan harga yang lebih murah,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pada masa yang sama, Datuk Mohamad memberi jaminan penanaman padi musim kedua yang bermula Oktober tidak terjejas dengan monsun timur laut yang dijangka berlaku pada November.

“Banjir mungkin berlaku pada Disember dan ketika itu tanaman padi sudah besar. Kita sudah mengambil kira perkara itu dan insya-Allah tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, keadaan banjir di beberapa negeri sudah menjadi bertambah baik, lapor BHM.

Sebelum ini negeri seperti Perak, Perlis, Johor dan Selangor mengalami banjir dengan ramai penduduk terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Negeri paling teruk terjejas adalah Kedah, dengan banjir teruk berlaku pada September, namun keadaan banjir di negeri itu sudah bertambah baik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg