Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekebun M’sia siap sedia tingkat bekalan sayur jelang tengkujuh

Oct 29, 2024 | 12:58 PM
Pekebun sayur di Cameron Highlands, Pahang, meningkatkan pengeluaran tanaman hingga 20 peratus bagi menampung permintaan pada musim tengkujuh yang diramal bermula pada November.
Pekebun sayur di Cameron Highlands, Pahang, meningkatkan pengeluaran tanaman hingga 20 peratus bagi menampung permintaan pada musim tengkujuh yang diramal bermula pada November. - Foto KOSMO!

KUALA LUMPUR: Petani Malaysia telah mula bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh.

Mereka mengambil langkah proaktif untuk melindungi dan meningkatkan pengeluaran hasil sayuran, bagi memastikan kestabilan bekalan untuk pengguna.

Presiden Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Encik Lim Ser Kwee, berkata petani mula meningkatkan penanaman sayuran hingga 20 peratus bagi menghadapi musim tengkujuh pada November, yang dijangka memberi kesan ke atas bekalan sayuran.

Beliau berkata petani sentiasa mengambil langkah persediaan, tetapi iklim pada 2024 sukar diramal berbanding tahun-tahun lalu.

Sebagai contoh, katanya, Jun dan Julai, yang biasanya kering, menerima hujan luar biasa pada 2024.

Menurut Encik Lim, perubahan cuaca tidak menentu membuatkan petani bimbang dan mereka berharap angin kencang serta hujan lebat tidak memusnahkan hasil tanaman.

“Berdasarkan cuaca semasa yang bersilih ganti antara hujan dengan panas terik, (ia) memudahkan serangan serangga perosak dan penyakit dalam sayuran. Pada masa ini, beberapa jenis sayuran terjejas akibat serangga perosak.

“Harga sayuran mungkin meningkat sedikit pada akhir 2024 berikutan permintaan meningkat, tetapi kita beri jaminan bekalan sayuran stabil dan tidak akan berlaku masalah kekurangan bekalan,” katanya, lapor The Star.

Sementara itu, timbalan presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Encik Lau Weng Soow, berkata petani telah meningkatkan penggunaan racun serangga perosak dan kulat bagi mengelakkan sayuran mereput, yang boleh menjejas bekalan sayuran.

Petani juga, tambah Encik Lau, sudah menggali sistem perparitan dan longkang sejak beberapa bulan lalu untuk mengurangkan risiko banjir yang boleh menjejas tanaman.

“Di Cameron Highlands, kami menggunakan khemah dan rumah hijau, tetapi apabila angin kuat, sayuran berisiko musnah.

“Pada 2024 juga tiupan angin dijangka lebih kuat, dengan musim tengkujuh dijangka tiba pada pertengahan hingga akhir November.

“Pada musim hujan, jika hujan lebat 24 jam, sayur-sayuran berisiko mereput,” katanya, sambil menambah bahawa petani terpaksa menanggung beban bencana alam dan kerugian sendiri.

Encik Lau berkata walaupun pengeluaran biasanya berkurangan sekitar 30 peratus kerana faktor cuaca menjelang akhir tahun, ia akan mempengaruhi peningkatan harga, tetapi bekalan masih mencukupi.

Dalam pada itu presiden Persatuan Penanam Bunga Cameron Highlands, Encik Lee Peng Fo, pula menekankan cabaran yang dihadapi petani bunga tempatan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Satu-satunya strategi berdaya maju untuk petani ialah membina tempat perlindungan lebih kukuh untuk tanaman mereka,” ujarnya.

Beliau juga berkata petani turut bimbang risiko hujan lebat dan kejadian tanah runtuh yang sering berlaku di Cameron Highlands.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg