Jumlah hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.73 trilion ($500 bilion) pada akhir Mac 2026, namun beban hutang negara terus terkawal dengan peminjam masih menunjukkan keupayaan kukuh untuk membayar balik pinjaman.

Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah hutang isi rumah Malaysia pada tempoh itu bersamaan 84.4 peratus daripada Hasil Dalam Negara Kasar (GDP), berbanding 84.7 peratus yang direkodkan pada Disember 2025.

Menurutnya, kerajaan dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM), sentiasa memastikan rakyat berupaya menghadapi ketidaktentuan ekonomi, dengan pemantauan dilaksanakan merangkumi tahap keberhutangan isi rumah dan keupayaan membayar balik pinjaman, selain analisis perkembangan ekonomi semasa bagi memastikan gambaran yang tepat dan terkini mengenai kedudukan kewangan rakyat.

“Nisbah pinjaman isi rumah terjejas kekal stabil dan rendah pada paras 1 peratus setakat akhir Disember 2025 berbanding 1.1 peratus pada Jun 2025.

“Tambahan lagi, penunjuk keupayaan pembayaran balik isi rumah turut menunjukkan kedudukan yang kekal kukuh, dengan median nisbah bayaran khidmat hutang pinjaman isi rumah terkumpul berada pada paras 33 peratus.

“Pertumbuhan hutang terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan, seperti yang dicerminkan oleh median nisbah hutang kepada pendapatan yang stabil pada 1.3 kali.

“Kedudukan ini menunjukkan bahawa secara keseluruhan, isi rumah masih mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memenuhi komitmen hutang masing-masing,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading daripada Pakatan Harapan (PH), Encik Aminolhuda Hassan.

Beliau meminta kerajaan menyatakan bagaimana penilaian terhadap tahap ketahanan kewangan rakyat dalam menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi dunia dibuat, termasuk aspek simpanan kecemasan, keberhutangan isi rumah dan kos sara hidup serta langkah campur tangan yang dirancang sekiranya berlaku kejutan ekonomi.

Datuk Anwar berkata Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan usaha berterusan bagi memastikan pertumbuhan hutang isi rumah kekal terkawal serta selaras dengan keupayaan peminjam untuk membayar balik hutang masing-masing.

Menurut beliau, semua pembiayaan yang diluluskan oleh institusi kewangan adalah tertakluk kepada Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh BNM sejak 2012.

Bagi membantu mengurus tekanan kos susulan konflik di Timur Tengah ketika ini, sistem perbankan menyediakan bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar kepada peminjam terjejas, termasuk penstrukturan, penjadualan semula dan penangguhan sementara bayaran balik, tambah beliau.

“Pendekatan ini selaras dengan penilaian BNM bahawa kesan konflik adalah tidak seragam, justeru memastikan sokongan diberikan kepada pihak yang benar-benar memerlukan sambil mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara.

“Peminjam individu dan perniagaan yang terkesan boleh berunding dengan bank masing-masing untuk mendapatkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keupayaan kewangan mereka.

“Peminjam juga akan dinasihatkan agar berbincang dengan pihak bank seawal mungkin untuk mendapatkan bantuan yang bersesuaian berdasarkan keadaan kewangan semasa peminjam,” katanya.

Datuk Anwar berkata di samping itu, Kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh daya tahan kewangan isi rumah dalam jangka panjang, termasuk melalui pembentukan simpanan kecemasan dan pengurusan kewangan yang berhemah.

“Usaha ini dilaksanakan melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) menerusi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0), yang memberi fokus kepada pembinaan tabiat kewangan mampan, pengurusan hutang secara bertanggungjawab serta perlindungan risiko.

“Sebagai pelengkap, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terus menyediakan khidmat nasihat kewangan dan program pengurusan hutang kepada peminjam yang memerlukan.

“Pendekatan menyeluruh yang merangkumi pendidikan kewangan, sokongan nasihat serta akses kepada bantuan pembiayaan ini adalah penting bagi memastikan isi rumah lebih bersedia menghadapi kejutan ekonomi dan ketidaktentuan dunia pada masa hadapan,” katanya.