BERA (Pahang): Sebuah kenderaan terjunam ke dalam Sungai Triang di Bera, Pahang, menghanyutkan seorang wanita yang hilang, namun bayinya berjaya diselamatkan oleh suaminya yang sedang memancing ketika kejadian pada petang 9 Jun.
Kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu berlaku di tebing sungai, ketika Encik Abdul Wahid Randa, 32 tahun, sedang memancing, manakala isterinya, Cik Sakirah Akop, 31 tahun, dan bayi perempuan mereka berusia 16 bulan berada dalam kereta Perodua Bezza yang diletakkan berhampiran.
Tiba-tiba, kenderaan itu dikatakan mula bergerak sendiri sebelum terjunam ke dalam sungai.
“Saya nampak kereta bergerak, saya lari ke arah isteri. Dia sempat buka pintu, tolak dengan kaki dan hulurkan anak kepada saya.
“Saya naik ke atas tebing untuk letakkan anak, tetapi apabila saya turun semula ke sungai, isteri sudah dihanyutkan arus. Dia sempat jerit abang, sambil lambai tangan, kemudian terus hilang,” katanya, lapor Harian Metro.
Encik Abdul Wahid berkata beliau sempat menjerit meminta pertolongan, namun tiada orang di sekitar kawasan itu sebelum berlari ke pasar berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
Katanya beberapa penduduk kampung datang membantu, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus sungai sangat deras.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menarik keluar kereta yang terjunam ke dalam Sungai Triang pada pagi 10 Jun, namun sehingga pagi 11 Jun, mangsa belum ditemukan.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata suami mangsa yang sedang memancing di tebing sungai sempat menyelamatkan anak mereka selepas mangsa menolak anaknya keluar dari kereta sebelum kenderaan itu tenggelam.
“Siasatan awal mendapati gear kereta berada dalam posisi drive (pandu) dipercayai tertolak secara tidak sengaja menyebabkan ia bergerak dan terjunam ke dalam sungai.
“Pencarian kini tertumpu dalam radius 200 meter daripada tempat kejadian dan kawasan berisiko seperti celahan pokok tumbang serta longgokan sampah turut diperiksa,” katanya.
Kemudiannya, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Encik Zulfadli Zakaria, berkata mayat Cik Sakirah ditemukan seorang pemancing kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg