Dalam hal berbuka puasa, ada orang gemar membeli di bazar dan berbuka beramai-ramai menghampar tikar di padang serta tepi sungai.
Ada orang pula suka berbuka di masjid kerana mudah mahu beribadah dan ada juga yang lebih selesa berbuka di rumah kerana enggan berleceh-leceh di luar.
Tidak kurang juga memilih untuk menikmati iftar di hotel yang menyediakan puluhan jenis menu daripada juadah tradisional tempatan, hidangan Barat dan oriental, mahupun aneka pencuci mulut.
Namun, harganya sudah pasti jauh berbeza dengan masakan di rumah atau menu yang dibeli di bazar.
Bagi golongan yang mampu, tentunya tidak perlu berkira-kira untuk berbelanja tinggi bagi kos bufet Ramadan di hotel, sementara yang berpendapatan sederhana mungkin terpaksa memejam mata melabur sejumlah wang untuk sesekali menikmati menu mewah di hotel.
Namun, berbaloikah berbuka puasa di hotel atau adakah ia dianggap satu pembaziran?
Tinjauan Berita Minggu (BM) di beberapa hotel daripada kelas tiga hingga lima bintang di Kuala Lumpur mendapati kadar harga dikenakan bagi pakej bufet berbuka puasa berbeza-beza mengikut penarafan hotel dan jenis menu disajikan.
Daripada tinjauan saya, hotel kategori mewah dan lima bintang menetapkan harga bermula RM220 ($66) ke atas untuk seorang dewasa dan RM120 ke atas bagi seorang kanak-kanak enam hingga 12 tahun.
Kadar paling mahal yang ditemui ialah RM318 untuk sekepala dewasa dan lazimnya bufet Ramadan bermula 6.30 petang hingga 10.30 malam.
Hotel tiga hingga empat bintang pula mengenakan harga bermula sekitar RM130 hingga RM200 untuk seorang dewasa, manakala kanak-kanak dicaj RM100 seorang.
Jika satu keluarga mempunyai tiga orang dewasa dan tiga kanak-kanak, kos iftar di hotel mencecah RM960 di hotel lima bintang, belum dicampur anggaran 16 peratus bagi cukai dan caj perkhidmatan.
Bagi setiausaha di syarikat swasta, Cik Fadilah Harun, 50-an tahun, beliau sudah beberapa kali berbuka puasa di hotel, tetapi semua atas tajaan majikan dan syarikat tempatnya bekerja.
Namun beliau akui kepuasan berbuka puasa di hotel terletak pada aneka pilihan makanan, selain suasana mewah dan perkhidmatan yang disediakan pihak hotel.
“Kalau secara individu, ralat rasanya untuk saya belanja sehingga RM200 seorang untuk berbuka puasa di hotel.
“Namun rezeki bekerja saya dapat merasai peluang ini. Saya akui berpuas hati dengan mutu makanannya yang memang mewah dan sedap.
“Mungkin jika ada yang berkeinginan berbuka di hotel, boleh pilih yang menawarkan bufet pada harga lebih rendah, tetapi sudah pasti pilihan makanan juga berbeza,” katanya kepada BM ketika ditemui berbuka puasa di Sofitel Kuala Lumpur.
Seorang lagi yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Ida, 40-an tahun, berkata kebanyakan yang berbuka puasa di hotel, menghadiri majlis tertentu atau kumpulan pejabat yang ditaja majikan.
“Saya sendiri pun kalau bukan sebab bekerja mungkin tidak merasa berbuka di hotel. Namun saya juga ada rakan-rakan yang berjawatan besar tidak kisah berbelanja kos tinggi untuk berbuka di hotel bersama keluarga, tetapi jika mereka mampu, apa salahnya.
“Kalau dilihat daripada mutu makanan, saya rasa memang berbaloi, cuma daripada segi harga mungkin tidak, kerana perut hanya mampu makan sedikit saja,” katanya.
Pun begitu, setakat dua minggu Ramadan ini, sebahagian hotel dikatakan masih kurang menerima pelanggan, dipercayai kerana kekangan ekonomi yang membuatkan ramai mengawal perbelanjaan, selain trend yang mana kebanyakan mereka lebih gemar iftar di rumah pada awal Ramadan.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh, berkata disebabkan itu sebahagian hotel masih menawarkan harga promosi awal untuk menarik pelanggan kerana sambutan kurang memberangsangkan setakat ini.
“Saya terima aduan daripada beberapa hotel menyatakan sambutan bufet Ramadan masih perlahan. Biasanya harga promosi ditawarkan sebelum atau pada awal Ramadan sahaja, tetapi ada beberapa hotel yang melanjutkan tawaran sehingga kini.
“Namun kami percaya dalam minggu ketiga hingga keempat Ramadan lebih ramai akan keluar berbuka puasa di hotel sambil membeli-belah kelengkapan Hari Raya,” katanya kepada BM.
Sementara itu Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Sofitel Kuala Lumpur, Encik Eric Ho, berkata persoalan berbaloi atau tidak berbuka puasa di hotel begitu subjektif dan bergantung pada individu.
“Ramai yang datang berbuka di sini gembira kerana rasa berbaloi membayar untuk menikmati hidangan yang bermutu, mewah, sedap dan pelbagai. Ada juga yang kata mahal untuk bayar RM228 sekepala untuk berbuka di sini.
“Apapun, untuk 2025 ini, Sofitel menjanjikan pilihan selera autentik yang unik dengan membawakan tujuh cita rasa Malaysia iaitu resipi asli dari tujuh negeri.
“Antaranya Nasi Beriani Sunquick berlauk resipi asli Johor; Udang Diraja Masak Lemak dari Pahang; Asam Pedas Ekor Lembu dari Melaka dan Ketupat Sotong Gula Areng dari Kelantan,” kongsinya.
Selain itu Sofitel juga katanya membawakan warung durian, kek larva durian, pelbagai seleksi sambal dan aneka menu lain seperti bakar-bakar, kerabu scallop dan tiram goreng serta pelbagai lagi masakan tempatan lain hingga ke menu barat.
Dalam pada itu, mantan Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis termuda, Dr Kamilin Jirin, berkata Islam tidak menghalang umatnya berbuka puasa di mana sahaja, dengan pertimbangan munasabah, antaranya kemampuan termasuklah daripada segi kewangan, waktu solat dan semangat dari puasa Ramadan.
“Ramai hari ini yang mampu, tetapi hilang semangat Ramadannya. Ini kerana antara hikmah berpuasa adalah untuk menjiwai orang miskin yang sukar mendapatkan makanan.
“Hari ini ramai yang lebih gemar menjamu perut sendiri, memilih hidangan lazat di pelbagai tempat seolah-olah Ramadan ini pesta juadah.
“Tidak salah andai sekali-sekala (berbelanja mewah), tetapi lebih molek jika dapat membawa insan yang memerlukan untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka demi meraikan semangat Ramadan,” katanya kepada BM.
Nasihatnya lagi, di mana saja lokasi berbuka, utamakan waktu dan kemudahan ruang solat.
“Jika bercadang berbuka di luar seperti hotel atau restoran bersama keluarga atau rakan, pastikan di kawasan tersebut terdapat kemudahan ruang solat berdekatan dan jangan berlengah tunaikan solat.
“Jika berbuka di hotel, kurangkan sifat tamak dengan mengambil makanan secara berlebihan sehingga membazir, sedangkan sebiji kurma pun Nabi saw tidak gemar untuk dibazirkan,” katanya.
Kesimpulannya, tidak salah berbuka di hotel atau restoran mewah, andai anda memang berkemampuan, namun jangan ditinggalkan kewajipan menunaikan solat dan elakkan pembaziran.
Dalam masa yang sama, jangan lupa meraikan golongan yang kurang berkemampuan juga.
“
Tidak salah andai sekali-sekala (berbelanja mewah), tetapi lebih molek jika dapat membawa insan yang memerlukan untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka demi meraikan semangat Ramadan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg